Skim Perubatan Madani inisiatif rintis bantu golongan B40

Skim Perubatan Madani inisiatif rintis bantu golongan B40

Kuala Lumpur: Perkhidmatan dan rawatan di klinik perubatan am swasta (GP) kini boleh dinikmati golongan B40 secara percuma melalui satu lagi inisiatif rintis kerajaan, dinamakan Skim Perubatan Madani.

Skim berkenaan kali pertama diumumkan Kerajaan Perpaduan dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

Mulai 15 Jun lalu, kemudahan itu ditawarkan secara automatik kepada semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Secara keseluruhan, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Ia adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan bagi membantu golongan B40 yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik swasta.

Pada masa sama, langkah berkenaan bermatlamat meringankan beban Kementerian Kesihatan (KKM) yang berdepan pelbagai situasi meruncing termasuk kesesakan di hospital dan klinik kerajaan, yang mengakibatkan tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan menjadi lebih panjang dan menyebabkan ketidakselesaan kepada pesakit.

Penerima STR yang sebelum ini bergantung kepada klinik kesihatan kerajaan, kini diberi pilihan bagi perkhidmatan penjagaan primer akut di klinik swasta yang berdaftar.

Penerima manfaat boleh mendapatkan rawatan percuma selama beberapa kali sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah habis digunakan.

Peruntukan ikut kategori 

Skim Perubatan Madani inisiatif rintis bantu golongan B40

Prapendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini cukup mudah. Penerima STR dan tanggungan mereka hanya perlu membawa kad pengenalan ketika mendapatkan rawatan di GP yang berdaftar di bawah Skim Perubatan Madani.

Peruntukan bagi setiap isi rumah adalah berbeza mengikut kategori masing-masing. Bagi setiap isi rumah berkeluarga, jumlah rawatan secara percuma sehingga akhir tahun ini dihadkan sehingga RM250, warga emas tanpa pasangan sebanyak RM125 dan bujang (RM75).

Perkhidmatan percuma ditawarkan di klinik swasta terpilih ini termasuk konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan yang akan diberikan.

Setakat ini, lebih daripada 500 pesakit dalam kalangan penerima STR telah mendapat manfaat menerusi skim ini.

Antara rawatan pesakit luar bagi kes akut ditawarkan ialah rawatan untuk demam selsema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala dan trauma ringan.

Pelaksana skim ini, ProtectHealth menyasarkan sebanyak 700 GP akan berdaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani menjelang akhir September. Pendaftaran masih dibuka kepada GP yang berdaftar di bawah Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAP).

Sehingga kini, sebanyak empat sesi penerangan dan latihan kepada GP telah dijalankan dan dijangka sebanyak 10 sesi lagi akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran GP yang berdaftar untuk skim ini.

Buat masa ini, perkhidmatan Skim Perubatan Madani yang ditawarkan secara percuma sehingga 31 Disember sudah dimulakan di 10 daerah, membabitkan tujuh negeri iaitu di Kuala Lumpur, empat daerah di Selangor iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling, Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Maklumat lanjut mengenai Skim Perubatan Madani, termasuk semakan kelayakan dan senarai klinik panel boleh didapati di laman sesawang ProtectHealth.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau hubungi 03-8687 2525.

Bagi mendapatkan maklumat mengenai inisiatif lain di bawah Belanjawan 2023, layari belanjawan.mof.gov.my/manfaat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top