Skim PKBC kurang sambutan

Skim PKBC kurang sambutan

am@hmetro.com.my

Sungai Siput: Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru (PKBC) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kurang mendapat sambutan apabila hanya RM13.5 juta nilai pinjaman dikeluarkan daripada RM150 juta yang diperuntukkan bagi tempoh sejak 2023.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata situasi itu agak pelik memandangkan skim pinjaman yang dikhaskan kepada penduduk Kampung Baru Cina itu disifatkan senang untuk dimohon dan diluluskan, selain mengenakan kadar faedah rendah yang tetap iaitu 2.25 peratus setahun.

“Saya tidak puas hati kerana kita tawarkan (peruntukan) lebih kurang RM150 juta, tapi kita hanya keluarkan pinjaman RM13.5 juta untuk 2023 dan 2024, sedangkan peluang untuk memohonnya sangat tinggi (untuk diluluskan).

“Kini RM144.6 juta masih tersedia untuk skim pinjaman KKBC ini, di mana nilai yang ditawarkan ini lebih tinggi berbanding RM120 juta yang ditawarkan pihak lain),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Projek Bina Baru Rumah di Kampung Rimba Panjang di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee; dan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad.

Skim Pinjaman Khas PKBC adalah program menyediakan bantuan kewangan berbentuk pinjaman kepada penduduk Kampung Baru bagi tiga tujuan iaitu membayar premium pajakan tanah, menyokong aktiviti perniagaan kecil, dan menaik taraf rumah dengan kadar faedah ditawarkan sebanyak empat peratus berdasarkan baki bulanan, bersamaan kadar tetap tahunan 2.25 peratus.

Kata Kor Ming, dalam tempoh dua tahun lalu RM13.5 juta nilai pinjaman yang dikeluarkan oleh Bahagian Kampung Baru Cina (BKBC) yang berada di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) membantu seramai 267 pemohon yang kebanyakannya menceburi sektor perdagangan borong, peruncitan, dan pembuatan.

Dalam perkembangan berasingan, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata sepanjang tahun 2024, sebanyak 934 projek pembangunan dilaksanakan oleh BKBC JKT dengan jumlah peruntukan RM107.81 juta iaitu membabitkan 99 peratus daripada keseluruhan peruntukan yang diterima.

Katanya, nilai itu belum termasuk beberapa projek lain seperti pemasangan 1,233 lampu jalan solar jenis LED di 195 kampung baru; pelaksanaan enam projek geran sosioekonomi, geran bagi pelaksanaan 768 program komuniti kampung baru, dan sebagainya.

“Secara keseluruhannya, KPKT sudah membelanjakan RM121.38 juta untuk projek pembangunan Kampung Baru Cina bagi tahun 2024, dengan jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 13.4 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM107.07 juta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top