am@hmetro.com.my
Chukai: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan peruntukan sebanyak RM739,990 kepada 81 koperasi yang terjejas banjir di seluruh negara.
Pengerusinya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata daripada jumlah itu sebanyak RM602,490 diluluskan menerusi Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) manakala RM137,5000 adalah melalui Co-Operative Emergency Relief Fund (CERF).
Menurutnya, pihaknya mendapati kejadian banjir yang berlaku menjejaskan koperasi di seluruh negara termasuk kerosakan pada premis peniagaan dan aset.
“Koperasi yang mengalami kerugian teruk termasuk aset sehingga RM30,000 akan diberikan menerusi TBKK.
“Sementara bagi kerugian hingga RM10,000 pula kita akan salurkan bantuan menerusi CERF,” katanya pada Majlis Penyerahan Bot Penyelamat dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Ahli Lembaga SKM, dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan dua bot bernilai RM50,000 termasuk enjin dan jaket keselamatan bagi memudahkan pasukan penyelamat memindahkan mangsa banjir.
Ahmad Norihan berkata, koperasi terbabit dengan musibah banjir perlu mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk membuat laporan polis mengenai jumlah kerugian yang dialami.
“Dilaporkan hampir 400 koperasi di seluruh negara terjejas akibat bencana banjir dan pihak kami juga sedang menilai kerugian yang dialami semua koperasi,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Norihan berkata, sebanyak RM580,000 turut diperuntukkan bagi membantu mangsa banjir menerusi Skuad Ihsan Madani.
© New Straits Times Press (M) Bhd




