mahani@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memuktamadkan proses pemberian tender bagi perkhidmatan capaian jalur lebar menerusi satelit bagi 839 lokasi terpencil.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata penilaian tender daripada pemegang lesen pemberi perkhidmatan yang layak akan dimulakan segera selepas permohonannya ditutup semalam.
“Lokasinya membabitkan 178 penempatan Orang Asli di Kelantan, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, 138 di pedalaman Sabah dan 523 di pedalaman Sarawak.
“Ia adalah kawasan yang terletak jauh daripada kemudahan rangkaian telekomunikasi sedia ada dan sebahagiannya sukar dilalui oleh jentera berat disebabkan keadaan bentuk muka bumi.
“Projek ini disasarkan siap pada Oktober depan dan bakal membolehkan penduduk di lokasi berkenaan menikmati perkhidmatan Wi-Fi secara percuma dengan kelajuan purata 35Mbps,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Katanya, kerajaan akan terus komited menjayakan pembangunan ke arah transformasi digital negara yang sedang giat dilaksanakan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif MyDIGITAL.
Kedua inisiatif adalah teras bagi merealisasikan aspirasi negara digital, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang 2030.
“Antara usaha yang diberi tumpuan adalah memperluaskan capaian internet, terutama di kawasan pedalaman.
“Usaha bawah inisiatif JENDELA ini adalah penyelesaian sementara untuk tempoh dua tahun, sebelum infrastruktur kekal dapat dibina bagi penyambungan rangkaian telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan JENDELA itu amat penting untuk merapatkan jurang digital agar tiada yang ketinggalan dalam arus perubahan dan bagi membolehkan setiap rakyat terbabit dalam ekonomi digital.
“Dengan capaian internet yang menyeluruh dan berkualiti, semua rakyat Malaysia dapat membina kemahiran digital serta menikmati manfaat transformasi pendigitalan ke arah Revolusi Industri 4.0,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




