SKSPS bantu golongan bekerja sendiri

Kuala Lumpur: Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) adalah komitmen kerajaan membantu rakyat terutama golongan yang bekerja sendiri mendapat perlindungan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dalam Pakej Permai yang diperkenalkan kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), SKSPS menyediakan perlindungan secara percuma selama setahun.

Menurutnya, pendaftaran adalah percuma dan pekerja tidak perlu membayar caruman RM232.80 untuk tahun pertama seperti yang dikenakan kepada pencarum.

“Dalam hidup yang kini perlu amalan norma baharu, khidmat penghantaran makanan dan barangan sangat diperlukan. Golongan yang bekerja ini tentunya memerlukan perlindungan daripada pelbagai risiko seperti kemalangan.

“Sehubungan itu, SKSPS kerajaan berikan percuma untuk membantu mereka yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa,” katanya selepas meninjau perjalanan pendaftaran SKSPS di Sanggar Kota, Johor, hari ini.

SKSPS sejak Januari lalu diperluaskan kepada 19 sektor iaitu Pengangkutan Barangan Makanan, Pertanian, Penternakan, Perhutanan, Perikanan, Makanan, Pembuatan, Pembinaan, Penjaja, Premis Penginapan dan Perniagaan Online.

Bidang lain ialah Teknologi Maklumat, Pemprosesan Data, Ejen, Perkhidmatan Profesional, Perkhidmatan Sokongan, Kesenian, Perkhidmatan Isi Rumah serta Penjagaan Rawatan dan Pemulihan Kesihatan.

Pendaftaran SKSPS percuma oleh kerajaan itu ditawarkan kepada golongan yang berpendapatan RM1,050 sebulan.

Terdahulu, Dr Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara menjayakan siri Program MyPrihatin di Kampung Sungai Telur bagi memberi penerangan mengenai pelbagai pakej bantuan kerajaan kepada rakyat.

Pada majlis itu, beliau menjelaskan kepada orang ramai mengenai pelbagai usaha kerajaan mengurus pandemik Covid-19 dan strategi melindungi serta membantu rakyat termasuk pakej bantuan Prihatin, Penjana, Permai dan Pemerkasa.