Amirul Fazli Zulkafli
sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad berbasikal trek negara dilihat bakal kehilangan lubuk pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 selepas beberapa acara dikhabarkan akan digugurkan pada temasya dwitahunan itu.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, berkata acara seperti team pursuit lelaki, pecut berpasukan lelaki dan keirin lelaki tidak dapat dipertandingkan ekoran jumlah pelumba tidak mencukupi daripada negara yang bertanding selepas Singapura dan Indonesia mengambil keputusan untuk tidak menghantar wakil dalam acara berkenaan.
Jelasnya, Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dijangka mengadakan mesyuarat pada bulan Jun depan untuk membincangkan perkara itu secara lebih mendalam bagi melihat kembali perkara berkenaann kerana syarat untuk memastikan sesuatu acara dipertandingkan ialah sekurang-kurangnya empat negara perlu menyertainya.
“Kami dimaklumkan tiga minggu lalu oleh Persekutuan Berbasikal Thailand selaku tuan rumah bahawa mereka menghadapi kekangan dari segi bilangan penyertaan minimum sesuatu acara yang dipertandingkan.
“Beberapa negara seperti Singapura dan Indonesia tidak menyertai acara pecut. Malah, negara seperti Kemboja dan Brunei menyatakan akan bertanding.
“Apa yang merisaukan, negara-negara berkenaan tidak mempunyai pelumba dalam disiplin itu.
Jadi, ada kemungkinan besar bahawa mungkin keirin tidak akan dipertandingkan di Sukan Sea nanti. Tetapi ini masih belum rasmi lagi,” katanya ketika ditemui pada sambutan ulang tahun ke-35 penubuhan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di Kampung Pandan, hari ini.
Selain itu, difahamkan bahawa tiga acara yang digugurkan itu bakal digantikan dengan acara omnium lelaki, omnium wanita dan scratch lelaki pada sukan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC)berkata, pihaknya tidak boleh campur tangan secara dalaman kerana segala keputusan itu sudah pasti akan diputuskan oleh Jawatankuasa SEAGF.
“Pada akhirnya, semua masalah itu akan kembali kepada kita sebagai Persekutuan Asia. Tapi, kita perlu akur dengan realiti. Jika tiada penyertaan, bagaimana acara itu mahu dijalankan?
“Anda tidak boleh mengadakan acara dengan hanya dua negara yang ingin bertanding. Tetapi kita tidak boleh memaksa mereka untuk mengambil bahagian kerana pada akhirnya ia bergantung kepada polisi dan bajet negara masing-masing,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir ketiga-tiga acara dipertandingkan adalah Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di mana Malaysia meraih emas dalam kategori berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




