fahmy.azril@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan secara bersepadu antara agensi dan pihak berkuasa berbanding tindakan secara ‘solo’ bukan sahaja lebih menyeluruh dan berkesan, malah kerjasama seperti itu mampu mengelak gejala rasuah atau salah guna kuasa.
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata meskipun pindaan Akta MAQIS 2011 (Akta 728) mampu memperkukuh kuasa bertindak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), usaha strategik masih perlu digembleng antara agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras sesuatu isu dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya dibentuk skuad bersepadu khas antara agensi yang akan menggerakkan operasi penguatkuasaan bersama-sama dengan MAQIS, selain masing-masing dapat berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’, terutama bagi membendung isu rasuah.
“Agensi penguatkuasaan yang lain boleh membantu MAQIS misalnya untuk tangani isu penyeludupan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada kuasa. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ada kuasa. Mungkin MAQIS boleh bekerjasama dengan mereka.
“Apabila ‘bersendirian’, mendedahkan pegawai MAQIS sendiri dengan isu rasuah yang akhir-akhir ini banyak sangat berlaku.
“Jika berjalan bersama agensi penguatkuasaan lain, mungkin rasuah tak berlaku kerana ada pihak lain boleh memerhati atau memantau. Saya cadangkan kepada semua agensi penguatkusaan jalankan operasi bersama kalau ada kes,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah MAQIS, Saiful Yazan Mat Alwi, mengenai pindaan Akta 728 supaya dikaji semula khususnya mengenai dua isu iaitu kuasa dan perjawatan agensi berkenaan.
Dua isu berkenaan dikatakan menjadi punca konon berlaku penyeludupan disebabkan kekurangan pegawai di pintu masuk, selain kuasa hanya terhad di pintu masuk, stesen kuarantin MAQIS dan premis kuarantin swasta yang diisytiharkan.
Sebagai langkah membendung penularan gejala rasuah dalam agensi penguatkuasaan, Shahul Hamid menggesa supaya pegawai ditukar lebih kerap setiap enam bulan atau setahun sekali ke jabatan lain atau cawangan negeri.
Katanya, kaedah ‘job rotation’ (pusingan kerja) yang dilaksanakan sebelum ini membabitkan penjawat awam dapat membantu mengurangkan gejala rasuah.
“Dahulu, kerajaan kerap tukar pegawai. Apabila kerap bertukar, sudah pasti mereka tak lama di satu-satu bahagian. Maka rasuah pun berkurangan.
“Apabila pegawai berkhidmat di tempat itu terlalu lama, umpamanya ada jalan untuk pihak lain dan orang pun kenal. Maksudnya, ada ‘lubang’ untuk jalankan kegiatan tertentu,” katanya.
Pakar Kriminologi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin, pula berpendapat kerjasama lautan biru antara pelbagai agensi dan penubuhan skuad khas langkah tepat dalam mendepani isu bukan sekadar membabitkan kartel daging sahaja.
Beliau berpandangan, langkah MAQIS menguatkuasakan sendiri undang-undang sangat tidak wajar kerana agensi itu memerlukan bantuan kepakaran daripada agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), PDRM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Kesemua agensi berkenaan sangat membantu bukan sekadar isu kartel daging sahaja, malah turut menjalinkan kerjasama bersepadu dalam kes jenayah lain seperti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang dan dadah.
“Kerjasama ini bertujuan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan. Pelbagai jabatan dan agensi kerajaan akan lebih mengetahui fungsi masing-masing dengan lebih mendalam serta dengan itu dapat mengelakkan pertindihan fungsi agensi terbabit,” katanya.
Zalmizy turut menggesa Ketua Pengarah MAQIS menyelesaikan isu dalaman seperti isu integriti terpalit agensi itu, seperti mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pegawai penguatkuasanya yang terkait rasuah atau apa permasalahan sekali pun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




