Skuad bola sepak wanita AS tamatkan penantian 12 tahun

Skuad bola sepak wanita AS tamatkan penantian 12 tahun

Paris: Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kejayaan emas Olimpik yang kelima dalam bola sepak wanita selepas Mallory Swanson menghadiahkan mereka kemenangan 1-0 ke atas Brazil dalam perlawanan akhir di Parc des Princes.

Selepas separuh masa pertama tanpa jaringan, Mallory memecah kebuntuan 12 minit selepas rehat untuk memberikan gelaran Olimpik pertama kepada AS sejak London 2012 selepas perjalanan sempurna sepanjang kejohanan.

Jurulatih AS, Emma Hayes, menikmati kejayaan hampir serta-merta apabila beliau meraih gelaran tersebut hanya dua bulan selepas memulakan tugasnya.

“Saya sangat emosional, ini adalah impian saya untuk berada di posisi ini,” kata Emma yang sebak kepada Eurosport.

“Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada ayah saya kerana mendorong saya hingga ke tahap ini, dapat datang dan melatih sekumpulan pemain yang luar biasa yang menerima saya dengan baik.

“Mereka menerima segala yang saya minta, mereka adalah manusia, pemain, dan teladan yang hebat. Saya sayang mereka.”

Brazil berbahaya pada peringkat awal dan hampir menjaringkan gol apabila Gabi Portilho melakukan percubaan yang diselamatkan dengan baik oleh Alyssa Naeher tidak lama sebelum separuh masa.

Alyssa sekali lagi beraksi cemerlang dalam masa tambahan untuk menepis tandukan Adriana dari jarak dekat.

“Ini adalah Brazil, kami tahu mereka adalah lawan yang sangat sukar, kami tahu ia tidak akan mudah, mereka tidak akan memberikan apa-apa kepada kami,” kata pemain pertahanan AS., Crystal Dunn kepada wartawan.

“Kami percaya setiap orang akan menjalankan tugas mereka dan saya sangat bangga dengan barisan pertahanan serta Alyssa di belakang yang juga aset yang luar biasa untuk pasukan.

“Akhirnya, ia bergantung kepada kepercayaan bahawa setiap orang akan melakukan tugas mereka.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top