sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad boling padang negara menggalas misi besar untuk mengekalkan takhta ‘jaguh Asia’ apabila beraksi pada Kejohanan Boling Padang Asia 2026 edisi ke-17 dan bawah 25 tahun edisi ke-15 di New Delhi, India dari 5 hingga 12 April ini.
Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) optimis barisan atlet yang dipilih mampu mempertahankan gelaran juara keseluruhan selepas kejayaan cemerlang dilakar pada edisi terdahulu.
Menurut kenyataan media PLBM, sasaran utama pasukan negara adalah untuk terus mengekalkan dominasi di Asia selain memastikan status jaguh rantau ini kekal menjadi milik Malaysia.
“Dengan barisan atlet yang telah terpilih, PLBM optimis dengan meletakkan sasaran sebagai juara keseluruhan bagi edisi tahun ini sekali gus mengekalkan takhta ‘Jaguh Asia’ yang diraih skuad negara sejak edisi 2023,” kata kenyataan itu.
Kejohanan yang menghimpunkan pasukan terbaik Asia itu bakal menyaksikan penyertaan negara seperti India, Hong Kong China, Filipina, Jepun, Sri Lanka dan Singapura, sekali gus menjanjikan persaingan sengit.
Skuad negara akan dibarisi tujuh atlet lelaki dan tujuh atlet wanita merangkumi kategori senior serta bawah 25 tahun dengan harapan mampu mengekalkan kecemerlangan di pentas Asia.
Menurut PLBM, kejohanan ini juga menjadi platform strategik untuk menguji tahap kesiapsiagaan atlet negara dalam menghadapi cabaran lebih besar termasuk Sukan Komanwel Glasgow 2026 selain memberi peluang mengumpul mata ranking dunia.
Untuk rekod, Malaysia muncul juara keseluruhan pada edisi 2025 di Clark, Filipina selepas meraih lima emas, dua perak dan satu gangsa, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai kuasa dominan boling padang Asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




