
Izzat Shameer, Naufal Azmi, dan Idham Amin.
SKUAD boling padang negara sekali lagi membuktikan keunggulan di pentas Asia apabila mempamerkan aksi memukau untuk membawa pulang empat pingat emas dan satu perak dalam Kejohanan Boling Padang Asia ke-16 dan Kejohanan Boling Padang Asia Bawah 25 Tahun (B-25) ke-14 di Clark, Filipina pada Rabu.
Gelombang emas negara bermula dalam kategori senior apabila gandingan mantap Muhammad Soufi Rusli dan Amirul Danial Abdul Rahim menundukkan wakil Hong Kong, 21-10, dalam perlawanan akhir pairs lelaki, sekali gus menghadiahkan emas pertama buat kontinjen Malaysia.

Soufi Rusli dan Amirul Danial
Momentum kemenangan terus membara apabila skuad triples lelaki yang dibarisi Izzat Shameer Dzulkeple, Muhd Naufal Azmi dan Muhammad Idham Amin Ramlan pula melakar kejutan dengan menewaskan Thailand 16-8 di pentas final, sekali gus menambah koleksi emas negara.
Tidak cukup dengan dominasi lelaki, ratu boling padang negara, Nurul Alyani Jamil turut menyerlah dalam acara single wanita apabila menewaskan wakil tuan rumah, Rosita Bradborn, 21-11, sekali lagi memastikan Jalur Gemilang berkibar megah.

Nurul Alyani
Biarpun emas terus menjadi buruan, skuad fours wanita negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas pertembungan sengit di final, apabila pasukan tuan rumah berjaya menewaskan Malaysia, 15-12.
Dalam kategori B-25, bakat muda negara, Ain Nurnajwa Norhisham turut membuktikan potensi apabila meraih emas selepas menundukkan wakil Hong Kong, Gloria Ha, 21-11, dalam aksi final yang mendebarkan.

Ain Nurnajwa
Sementara itu, Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz, berharap agar skuad negara dapat mengekalkan prestasi cemerlang ini untuk pusingan kedua kejohanan yang akan berlangsung esok.
“Kita berada di landasan yang tepat untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Asia ini, dengan harapan untuk mencapai prestasi yang lebih baik berbanding tahun lalu di Pattaya.
“Saya berharap agar pasukan negara dapat mengekalkan momentum cemerlang ini dan tidak berada dalam zon selesa menjelang pusingan kedua yang akan bermula esok,” ujarnya.