Skuad Harimau Malaya lengkap suntikan vaksin Isnin ini

Skuad Harimau Malaya lengkap suntikan vaksin Isnin ini

zulfaizan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini tidak akan mengubah perancangan atau persiapan pasukan bola sepak kebangsaan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2023 pada bulan depan.

Apa yang melegakan kem Harimau Malaya sudah pasti berita skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu yang akan melengkapkan suntikan kedua dos vaksin COVID-19 pada Isnin ini.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingan berkata pihaknya juga sedia mematuhi segala proses operasi standard (SOP) atau garis panduan yang ditetapkan kerajaan berkaitan pelaksanaan PKP yang baharu ini.

“Kita akan pastikan gelembung sukan dari skuad kebangsaan terutama di padang latihan berjalan lancar bermula pada 16 Mei nanti sehingga kita berlepas ke UAE (Emiriah Arab Bersatu), 20 Mei nanti.

“Pada masa ini ia (PKP) tidak menggangu persediaan pasukan. Tetapi dengan pengumuman baharu, SOP baharu dan kita tengok setiap kali PKP, kekangan atau SOP berubah.

“Kita akan pastikan kita patuh kepada semua arahan dan garis panduan yang diberikan dan pasukan kebangsaan tidak terganggu dengan apa yang sedang dialami sekarang,” katanya.

Selain itu, Stuart berkata aksi kelayakan di UAE juga tidak mengundang sebarang perkara negatif walaupun skuad Harimau Malaya sudah lebih setahun tidak menghadapi perlawanan kompetitif sama ada di dalam, mahupun luar negara.

“Menerusi kem latihan pusat pada Mac lalu, reaksi yang saya dapat dari jurulatih Tan Cheng Hoe sangat positif. Saya rasa pasukan kebangsaan yang tidak bersama agak lama memberi satu sentimen dan semangat luar biasa dalam pasukan kali ini.

“Pengurusan pasukan dan pemain sendiri meminta untuk kita berlatih awal dan bersama lebih lama, perkara ini tidak pernah berlaku dalam pasukan kebangsaan.

“Pandemik dihadapi semua negara, Malaysia tidak boleh gunakan pandemik sebagai alasan. Kami patut lihat apa yang perlu dilakukan, kita tak boleh gunakan COVID-19 sebagai penyebab kita gagal,” katanya.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top