Skuad Harimau Muda akhiri saingan AFF 2023 di tempat keempat

Skuad Harimau Muda akhiri saingan AFF 2023 di tempat keempat

KUALA LUMPUR – Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan tewas kepada pasukan tuan rumah 3-4 dalam penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan tempat ketiga dan keempat Kejohanan B-23 persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2023, di Thailand, hari ini.

Keputusan di Stadium Rayong Provincial itu menyaksikan skuad Harimau Muda bimbingan E. Elavarasan menyamai rekod terbaik Malaysia menduduki tempat keempat pada edisi sulung 2005.

Pada pertembungan itu, kedua-dua pasukan buntu memecah kebuntuan gol meskipun masing-masing memiliki beberapa peluang terhidang sepanjang 90 minit permainan sebenar sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan penalti.

Fergus Tierney dan Thanison Paibulkijcharoen masing-masing tenang menyempurnakan penalti pertama pasukan sebelum Muhammad Aliff Izwan Yuslan dan Pattara Soimalai turut tidak berdepan masalah melaksanakan tugas untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Situasi cemas seketika apabila sepakan Syahir Bashah berjaya diselamatkan Thirawooth Sraunson dan Songchai Thongcham mudah menewaskan Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin di gawang untuk meletakkan Thailand di hadapan.

Malaysia menarik nafas lega apabila kedudukan terikat 3-3 selepas V. Ruventhiran berjaya meledak gol ketiga negara sementara percubaan Thakdanai Jaihan tersasar.

Bagaimanapun, anak buah Elavarasan akhirnya terpaksa akur gagal menaiki podium selepas Sraunson menyelamatkan rembatan lemah Muhammad Abu Khalil diikuti percubaan Chukid Wanpraphao yang menewaskan Muhammad Azim untuk mengesahkan kemenangan Thailand.

Selepas ini, skuad B-23 kebangsaan akan menghadapi saingan pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand, dari 6 sehingga 12 September depan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama pasukan tuan rumah, Bangladesh dan Filipina dengan juara setiap kumpulan serta empat naib juara terbaik layak ke pusingan akhir di Qatar yang menawarkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024. – Bernama