sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad hoki muda Bawah 18 Tahun (B-18) diseru untuk meneruskan momentum kemenangan keempat berturut-turut menentang Jepun dalam perlawanan keempat esok, bagi membuka peluang lebih cerah ke separuh akhir Piala Asia B-18 yang berlangsung di China.
Jurulatih B-18 negara, Mohd Sufian Mohamad berkata, kemenangan dalam perlawanan itu amat penting, namun beliau sedar bahawa pemain negara bakal menerima tentangan lebih mencabar kerana kedua-dua pasukan dilihat antara pencabar utama dalam Kumpulan B.
Katanya, lawan mereka itu juga berbeza daripada dua pasukan sebelum ini kerana Jepun memiliki kelebihan individu serta skuad yang mantap.
“Perlawanan esok menentang Jepun adalah ujian sebenar yang akan menguji kekuatan serta ketajaman barisan serangan dan pertahanan pasukan Malaysia. Saya jangkakan ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat sengit kerana Jepun dibarisi pemain-pemain yang memiliki kecergasan dan intensiti permainan yang tinggi.
“Saya berharap pemain dapat mengekalkan fokus dan memberikan aksi terbaik. Esok kita mesti berikan segala-galanya kerana kemenangan akan melayakkan kita ke separuh akhir,” katanya.
Terdahulu, skuad bimbingan Sufian terus garang apabila menjadikan Taiwan sebagai mangsa seterusnya, menang besar 11-1 dalam perlawanan ketiga, hari ini.
Beliau memuji anak buahnya yang terus beraksi cemerlang dan tidak banyak melakukan kesilapan mudah, sebaliknya memanfaatkan setiap peluang yang terhidang dalam bentuk jaringan.
“Syukur alhamdulillah atas tiga mata penuh hari ini. Saya sebenarnya tidak menjangkakan kita mampu menjaringkan banyak gol. Namun semalam, iaitu pada hari rehat, saya mengadakan perbincangan, sesi video serta menyusun strategi secara teliti untuk meningkatkan prestasi barisan penyerang dan menambah baik cara menjaringkan gol.
“Hari ini, saya sangat memuji mereka kerana menyudahkan peluang-peluang yang diperoleh dengan tenang. Saya berharap ketajaman penyudah yang ditunjukkan hari ini dapat diteruskan dalam perlawanan menentang Jepun esok,” katanya.
Ketika ini, pasukan negara berada di kedudukan teratas Kumpulan B dengan sembilan mata serta berkelebihan 24 jaringan dan itu amat penting kerana boleh menjadi penentu untuk ke pusingan seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



