Skuad hoki lelaki diminta contohi Pakistan

Skuad hoki lelaki diminta contohi Pakistan

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara diharap dapat mencontohi semangat juang tinggi yang dipamerkan skuad Pakistan apabila tampil selaku tuan rumah pada Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang akan bermula 15 hingga 21 Jun ini.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Pakistan adalah pasukan yang tidak mewah, namun barisan pemainnya mempamerkan kesungguhan setiap kali beraksi di pentas antarabangsa.

“Pakistan adalah contoh yang jelas…dengan serba kekurangan, tapi apabila beraksi, mereka bermain dengan semangat juang yang tinggi.

“Jadi saya mahu pemain negara mempunyai semangat sama, apatah lagi apabia beraksi di halaman sendiri. Kita tak boleh beri alasan pasukan lain lebih baik berbanding kita, sebaliknya kita perlu menjadi lebih baik berbanding pasukan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada sidang media pasukan hoki wanita kebangsaan ke Piala Negara-Negara 2 di Poland dan majlis memperkenalkan jersi terbaru pasukan wanita kebangsaan yang ditaja oleh Mizuno, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan MHC, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, ketua jurulatih skuad wanita, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim serta Pengurus Pemasaran (Negara) Mizuno, Darren Wong.

Jelas Subahan, selaku pihak pengurusan, dirinya serta kakitangan lain sudah memberikan yang terbaik dengan membawa kejohanan bertaraf antarabangsa untuk dianjurkan di negara ini.

Namun beliau juga menegaskan pada akhirnya penyokong mahu melihat prestasi Speedy Tigers di atas padang, bukannya sekadar menjadi negara yang berjaya menganjurkan kejohanan berprestij sahaja.

“Di pihak pengurusan, kami boleh beri macam-macam kepada pemain termasuklah gaji, mungkin tak banyak, tetapi masih ada gaji yang dibayar tepat masanya. Begitu juga kemudahan lain seperti pakaian dan sebagainya.

“Tapi pada akhirnya terpulang kepada pemain. Mereka perlu menunjukkan prestasi yang baik. Saya harap nasihat ini akan sampai kepada pemain.

“Kami juga sudah menggunakan khidmat beberapa jurulatih berkaliber dan kesemua mereka sudah melakukan yang terbaik. Jadi pemain perlu menterjemahkan kepercayaan yang diberikan kepada mereka,” katanya.

Malaysia di bawah bimbingan Sarjit Singh akan membuka tirai perlawanan menentang Pakistan pada 15 Jun, diikuti New Zealand (16 Jun) dan perlawanan terakhir, Jepun (18 Jun) pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top