sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) bertekad tidak mensia-siakan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk memburu kemenangan kelima musim ini apabila bakal melayani kunjungan Penang FC, pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Perancangan bahagian tengah pasukan itu, Yuichi Hirano menegaskan betapa perlunya dia dan rakan sepasukan menggunakan kelebihan berkenaan sebaik mungkin untuk mendapatkan kemenangan buat skuad Hobin Jang Hobin.
Katanya, selepas impian mengutip tiga mata ke atas Sabah FC dalam aksi terdahulu tidak kesampaian, kini adalah peluang terbaik buat dirinya dan rakan sepasukan menterjemahkan tiga mata di hadapan penyokong sendiri.
“Kelebihan yang kami miliki kali ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan kemenangan. Pastinya peluang terbaik ini tidak boleh dipersia-siakan dan kami perlu gandakan kekuatan untuk memastikan kemenangan kelima musim ini mampu dicapai.
“Kami perlu tampil dengan aksi lebih baik dari segi menyerang dan bertahan. Saya harap kemenangan akan tercipta di laman sendiri malam ini,” kata Hirano hari ini.
Pemain berasal dari Jepun berusia 29 tahun itu akui bersedia untuk memainkan peranan proaktif dalam memastikan persembahan pasukannya dapat ditingkatkan dan seterusnya mampu mengimbangi kekuatan pasukan lawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




