sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persaingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Sukan Sea Thailand bakal berlangsung sengit khususnya Malaysia apabila skuad lelaki dan wanita negara berdepan laluan berliku.
Dalam undian yang dijalankan semalam, skuad lelaki negara diletakkan dalam kumpulan ‘maut’ bersama juara bertahan Filipina, Singapura, Laos dan Indonesia dalam Kumpulan B.
Kumpulan A pula menampilkan tuan rumah Thailand, Myanmar, Vietnam dan Timor Leste.
Hanya juara kumpulan layak terus ke separuh akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga perlu melalui pusingan pertama play off.
Aksi peringkat kumpulan lelaki bermula Sabtu ini.
Persekutuan Esports Malaysia menetapkan sasaran pingat emas, sekali gus mengharapkan permulaan mantap memandangkan kumpulan yang dibarisi gergasi rantau ini.
Ketua jurulatih, Michael Angelo Bocado yakin skuad negara mampu menyerlah dan membawa momentum positif ke Bangkok.
Menurutnya, kemenangan bergaya ke atas Kemboja pada Kejohanan Esports Dunia baru-baru ini di laman sendiri melonjakkan keyakinan pasukan.
Katanya, pasukan giat mempertajamkan strategi pada fasa akhir persiapan sebelum Sukan Sea.
“Untuk Sukan Sea, kami akan buat yang terbaik untuk kejar emas. Hari-hari terakhir ini memang fokus untuk latihan sepenuhnya,” katanya.
Malaysia belum pernah merangkul emas MLBB di Sukan Sea, namun beliau percaya mentaliti pemain berubah selepas siri prestasi memberangsangkan kebelakangan ini.
“Momentum ada, keyakinan ada. Tapi kami tak boleh terlalu yakin sebab lawan semua pasukan hebat. Banyak pasukan kuat di Sukan Sea dan kami tak boleh pandang rendah sesiapa,” katanya.
Skuad wanita negara turut menerima cabaran getir apabila diundi menentang juara bertahan Indonesia, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste dalam Kumpulan B.
Kumpulan A menampilkan Thailand, Filipina, Laos dan Vietnam.
Skuad wanita juga memburu kejayaan besar selepas peningkatan konsisten di peringkat serantau, namun mereka perlu melepasi halangan pasukan-pasukan gergasi yang mendominasi arena esukan Asia Tenggara. Peringkat kumpulan wanita akan membuka tirai Ahad ini.
Di Sukan Sea Phnom Penh dua tahun lalu, skuad lelaki membawa pulang perak, manakala skuad wanita meraih gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




