Skuad Nafuzi sasar gemilang di Bangkok

Skuad Nafuzi sasar gemilang di Bangkok

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Segala episod duka di Piala ASEAN Bawah 23 tahun (B-23) kini dilupakan. Fokus skuad muda negara terarah kepada misi lebih besar iaitu merebut slot ke Piala Asia B-23 2026.

Bagi penyerang berbisa Harimau Malaya B-23, Haqimi Azim Rosli, pentas kelayakan ini bukan sekadar aksi biasa tetapi medan membuktikan keupayaan sebenar anak muda Malaysia di mata rakyat.

“Sepanjang tahun ini saya dihantui kecederaan. Tetapi saya percaya inilah peluang terbaik untuk saya bangkit semula dan menunjukkan kemampuan,” ujar penyerang Kuala Lumpur (KL) City itu.

Haqimi turut menegaskan, seluruh pasukan berikrar untuk turun dengan semangat juang tinggi di Bangkok, sekali gus mengangkat maruah bola sepak negara yang dahagakan kejayaan.

“Kami akan buktikan bahawa skuad ini mempunyai kualiti dan layak digeruni. Harapan saya agar seluruh rakyat Malaysia terus berdiri di belakang kami,” katanya lagi.

Skuad kendalian Nafuzi Zain kini sudah pun berada di Thailand, mengatur strategi melalui aksi persahabatan menentang Kuwait dan Oman bagi menguji kekuatan serta keserasian pasukan.

Pada perlawanan pertama persahabatan menentang Kuwait semalam menyaksikan skuad bimbingan Nafuzi tewas 0-1.

Cabaran getir menanti apabila Malaysia bakal membuka saingan Kumpulan F menentang Lubnan pada 3 September, diikuti Mongolia tiga hari kemudian, sebelum menutup tirai menentang tuan rumah Thailand pada 9 September.

Bagi penyokong bola sepak tempatan, inilah saatnya melihat wajah baharu Harimau Malaya B-23 yang mahu menulis kisah gemilang di pentas Asia.

Kelayakan kali ini bukan sekadar perjuangan, tetapi lambang kebangkitan generasi muda Malaysia untuk berdiri sebaris dengan kuasa besar bola sepak Asia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top