PETALING JAYA: Skuad Bawah 17 (B-17) negara akan memulakan siri jelajah latihan pusat di Doha, Qatar bermula 9 hingga 21 April ini bagi menjalani persiapan rapi menjelang saingan Piala Asia B-17 2023 di Thailand bermula dari 15 Jun depan.
Seramai 38 pemain dan pegawai akan berlepas ke Doha, Qatar pada hari ini selama dua minggu untuk menjalani fasa ketiga latihan pusat yang sudah bermula sejak Januari yang lalu.
Pengurus pasukan B-17 negara, Christopher Raj berkata segala persiapan telah diatur dengan rapi termasuk siri jelajah latihan pusat di luar negara sememangnya penting bagi meningkatkan tahap persediaan pemain menjelang saingan Piala Asia B-17 2023.

“Kita akan memulakan latihan pusat fasa ketiga di Doha selama dua minggu bagi membolehkan jurulatih Osmera Omaro menyediakan skuad terbaik di kejohanan Piala Asia B-17, Jun depan.
“Ini merupakan peracangan kita untuk menambahbaik corak permainan bagi menghadapi persaingan sengit dari negara-negara besar Asia yang akan berentap merebut empat slot mewakili pasukan Asia ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai persiapan di Doha, beliau berkata skuad B-17 akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan sepanjang dua minggu akan datang.
“Kita juga sudah mengaturkan sebanyak tiga perlawanan persahabatan di Doha yang akan menguji keupayaan skuad B-17 bagi memastikan para pemain sentiasa memberikan tumpuan 100 peratus dan fokus sepanjang berada di sana,” jelasnya.
Skuad B-17 negara diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Thailand, Yemen dan Laos dengan rata-rata peminat bola sepak tanah air menaruh harapan besar supaya anak buah Osmera Omaro melepasi saingan kumpulan serta merebut tiket ke Piala Dunia B-17.
Mengulas lanjut, Christopher Raj menyambut baik sokongan dan cabaran yang dilontarkan kepada skuad B-17 negara kendalian Jurulatih Osmera Omaro bagi merebut tiket automatik sebagai empat pasukan terbaik di kejohanan Piala Asia B-17 di Thailand Jun nanti sekaligus layak ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini.
“Kita menerima pelbagai reaksi sejurus undian pusingan akhir Piala Asia B-17 yang telah diumumkan, saya serta barisan kejurulatihan tetap optimis dalam perebutan tiket automatik ke Piala Dunia B-17 namun kita harus berikan sepenuh tumpuan kepada persiapan rapi pasukan kita untuk bersaing di Piala Asia B-17.
“Berdasarkan pertemuan kita bertemu pasukan Asia dan Asia Tenggara di kejohanan yang lalu, kita mempunyai kelebihan tersendiri tetapi jika kita terus meningkatkan kualiti corak permainan sudah tentu kita mempunyai peluang yang lebih cerah untuk melepasi peringkat kumpulan,”jelasnya.
Dalam masa sama, Christopher Raj juga berkata skuad B-17 negara akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Saudi Arabia B-17 yang juga merupakan salah satu pasukan kegemaran di saingan Piala Asia B-17.
“Kita akan berdepan Saudi Arabia B-17 pada 8 Jun dalam perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand.”
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran yang tinggi agar skuad B-17 negara dapat beraksi buat pertama kali di pentas Piala Dunia dengan merebut empat tiket automatik mewakili Asia di Piala Dunia B-17, hujung tahun ini.
Skuad kendalian Osmera Omaro akan memulakan saingan Piala Asia B-17 2023 di Thailand dengan aksi pertama Kumpulan A berdepan Yemen di Stadium Thammasat, Bangkok pada 15 Jun, seterusnya menentang tuan rumah Thailand (18 Jun) di Stadium Phatum Thani dan Laos (21 Jun).-UTUSAN