sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad olahraga negara akan berkampung di Sendai, Jepun selama tujuh hari bagi menjalani kem latihan terakhir sebelum menggalas cabaran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Kem berkenaan menjadi medan terakhir buat atlet memperkemas persiapan dengan ketua jurulatih pecut negara, Thabo Matebedi mahu anak buahnya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tiga perkara iaitu latihan, pemulihan dan pemakanan.
Antara atlet yang menyertai kem latihan terakhir itu ialah pemenang pingat gangsa acara 100 meter (m) Sukan Asia Hangzhou 2022, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, pelari 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy selain bintang pecut muda, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan pelari 400m lelaki, Umar Osman.
Menurut Matebedi, berada di luar Malaysia membantu atlet mengurangkan gangguan dan aktiviti yang tidak berkaitan dengan persiapan, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada sasaran di Jepun.
“Perkara pertama dalam kem latihan adalah untuk memastikan atlet benar-benar fokus.
“Apabila kita berada di luar Malaysia, kurang aktiviti lain yang boleh dilakukan. Jadi hanya ada tiga perkara untuk dilakukan iaitu latihan, pemulihan dan makan,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, hari ini, sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Selain persiapan individu, Matebedi turut memberi penekanan terhadap pembentukan keserasian dalam kuartet 4×100 meter (m) lelaki, wanita dan campuran negara, terutama aspek kepercayaan antara atlet ketika melakukan pertukaran baton.
Katanya, kekuatan kuartet bukan sekadar bergantung kepada kepantasan setiap pelari, sebaliknya memerlukan keserasian dan kepercayaan yang kukuh antara anggota pasukan.
“Bagi saya, acara berganti-ganti bukan hanya mengenai sejauh mana pantas seseorang atlet boleh berlari. Ia juga mengenai membina kepercayaan antara atlet,” katanya.
Matebedi berkata, perkara itu penting kerana atlet yang membentuk skuad kebangsaan datang daripada negeri dan latar belakang berbeza serta sudah terbiasa dengan persekitaran masing-masing.
“Atlet ini adalah atlet kebangsaan, jadi mereka lebih terbiasa sebagai individu berdasarkan negeri masing-masing. Tetapi kita perlu wujudkan keserasian supaya mereka boleh bersama sebagai satu pasukan.
“Apabila mereka menghabiskan lima hari atau seminggu bersama di tempat yang sama, mereka mula membina kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini, dengan saingan olahraga dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 29 September.
© New Straits Times Press (M) Bhd

