Skuad Penyu 'menangis' di Gong Badak

Skuad Penyu 'menangis' di Gong Badak

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pemain tengah, Patrick Reichelt muncul wira selepas jaringannya memastikan Kuala Lumpur City FC (KL City) membawa pulang tiga mata menumpaskan Terengganu FC (TFC), 2-1 sebentar tadi.

Kekalahan skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu sekali gus menyukarkan lagi pemburuan pasukan berkenaan untuk menamatkan saingan liga ditangga ketiga.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi rembatan jarak jauh pemain pertahanan, Muhammad Safwan Mazlan yang gagal ditepis penjaga gol, Hafizul Hakim pada minit ke-15 untuk pasukannya mendahului 1-0.

Skuad The City Boys hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-19, namun tandukan Jovan Motika melepasi palang gol berpunca sepakan sudut.

Dua minit berselang, penyerang import kelahiran El Salvador, Nelson Bonilla berpeluang untuk menambah jaringan pasukannya, tapi sepakan lemahnya berjaya ditangkap kemas penjaga gol.

Seminit sebelum masa tambahan babak pertama berakhir, berpunca kesilapan pertahanan tuan rumah, penyerang, Paulo Josue mudah menyamakan kedudukan 1-1 hasil tandukan yang melepasi jangkauan penjaga gol.

Jaringan itu ternyata membakar semangat anak buah Miroslov Kuljanac untuk memburu jaringan kedua, tapi peluang terbuka dimiliki pemain tengah, Zhafri Yahya digagalkan penjaga gol pada minit ke-58.

Skuad Penyu berpeluang untuk menjaringkan gol kedua menerusi rembatan Manuel Ott pada minit ke-71 dan tampanan Akhyar Rashid seminit kemudian, namun hampa berikutan penyudah tumpul.

Sebaliknya pelawat mendapat gol kedua selepas bola hantaran Josue mudah buat Reichelt memperdaya penjaga gol pada ke-79 untuk pasukannya mendahului 2-1 walaupun pada awalnya pengadil membatalkan jaringan itu kerana didakwa ofsaid.

Kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan TFC ‘menangis’ di laman sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top