Bangkok: Skuad polo ekuestrian negara memulakan kempen Sukan Sea 2025 dengan langkah kanan apabila menewaskan Indonesia 8-4 dalam perlawanan pembukaan di VS Sports Club & Siam Polo Park, Samut Prakan hari ini.
Pengurus skuad polo kebangsaan, Datuk Shaiful Annuar Ahmad Shaffie berkata, barisan pemain menunjukkan semangat yang tinggi sepanjang perlawanan untuk menewaskan pasukan Indonesia.
“Kuda-kuda kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyesuaikan diri dengan permukaan padang dan persekitaran kerana hanya tiba tiga hari lalu akibat banjir di selatan Thailand.
“Walaupun keletihan akibat perjalanan, kuda-kuda kami masih berjaya menunjukkan prestasi cemerlang, dan saya sangat berpuas hati dengan usaha mereka,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, Shaiful Annuar menjangkakan cabaran yang lebih sukar menentang Brunei dalam perlawanan esok.
Dalam perlawanan sebelum itu, Thailand menewaskan Brunei 7.5-7 dalam aksi dengan sistem handikap.
Sukan Sea 2025 akan berlangsung secara rasmi dari 9 hingga 20 Disember di Bangkok dan Chonburi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




