mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Walaupun sudah 20 tahun ikatan terjalin dan terpisah oleh lokasi dan tugasan masing-masing namun ikatan persaudaraan 40 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih tetap utuh.
Malah hubungan yang terjalin sejak sekian lama ini lebih bermakna apabila mereka semua dipertemukan semula julung kalinya pada majlis pertemuan sempena ulang tahun ke-20 Kursus Asas Penolong Penguasa Siri 2/2006di Mes Pegawai Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff menzahirkan rasa syukur atas ukhuwah yang kekal teguh
“Tuan-tuan dan puan-puan semua telah saya anggap sebagai adik-beradik dan keluarga saya sejak 20 tahun yang lepas,” katanya.
Beliau turut mengimbas kenangan hari pertama melaporkan diri di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta, termasuk pengalaman menaiki pesawat Angkatan Tentera Udara Malaysia jenis Charlie menuju ke Pusat Latihan Polis Kuching, Sarawak pada 6 Februari 2006.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, Zuhairie Abu Bakar serta Fariza Omar, yang ketika itu bertindak sebagai Timbalan Ketua Penyelaras dan Penyelaras Kursus Asas berkenaan.
Dalam ucapan beliau, Zuhairie berkata, dalam banyak kursus asas yang beliau kendalikan, skuad PULASAR 2006 ini adalah yang paling diingati dan dekat kepadanya.
“Perjalanan kita sebagai pegawai SPRM ini umpama roda, bergantung kepada komitmen serta usaha kita. Jangan ada sikap iri hati dalam diri masing-masing.
“Daripada 88 orang kadet penolong penguasa yang memulakan perjalanan pada tahun 2006, kini seramai 78 orang masih berkhidmat, manakala selebihnya sudah bersara atau meninggal dunia,” katanya.
Majlis turut meraikan Nur Julia Shafikah yang akan bersara pilihan pada 31 Mac 2026, serta mengadakan majlis tahlil bagi memperingati empat pegawai yang kembali ke rahmatullah.
Majlis ini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh silaturahim, tetapi juga mengingatkan bahawa nilai persaudaraan, komitmen, dan integriti adalah asas kepada perjuangan bersama dalam memerangi rasuah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




