Skuad ragbi 7s Johor tak gentar cabaran format baharu

Skuad ragbi 7s Johor tak gentar cabaran format baharu

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad ragbi Johor tidak gentar dengan cabaran format baharu Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan (National 7’s) 2025, sebaliknya tekad turun dengan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

Dengan kombinasi pemain muda berbakat dari temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan tonggak berpengalaman skuad kebangsaan, Naib Presiden Ragbi Johor, Mohd Najib Johan menganggap edisi kali ini sebagai medan sebenar menguji kekuatan fizikal dan mental pasukan.

“Kita teruskan program sedia ada terutama untuk kekalkan kejuaraan. Pemain dari skuad Sukma lalu di naik taraf dan digabung dengan dua, tiga tonggak Bunga Raya 7’s.

“Format baharu ini pula hanya dibahagikan kepada dua kumpulan, jadi pasukan akan bermain lebih banyak perlawanan. Ketahanan fizikal dan mental akan jadi penentu,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian kejohanan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, semalam.

Johor yang diundi dalam Kumpulan B bakal berentap dengan Negeri Sembilan, Melaka, Putrajaya, PDRM dan tuan rumah, Terengganu.

Bagi persiapan awal, Johor menyertai kejohanan Johor 7’s bulan lalu yang turut menampilkan pasukan dari Thailand dan Singapura dan menamatkan kempen di tempat ketiga.

Mengulas lanjut, Mohd Najib turut menyifatkan Kelantan sebagai pencabar utama berdasarkan kekuatan barisan mereka yang dibarisi hampir keseluruhan pemain skuad kebangsaan.

“Kelantan jadi halangan utama sebab 80 peratus pemain mereka daripada skuad kebangsaan Bunga Raya 7,” katanya.

Dalam masa sama, Johor turut komited untuk terus menggilap bakat muda negeri itu dan memastikan lebih ramai pemain jati mampu menembusi skuad kebangsaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top