Dalam kamus bola sepak moden, skuad mantap di setiap posisi termasuk simpanan boleh menjadi kunci kejayaan sesebuah pasukan elit.
Itu yang cuba dilakukan naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Arsenal apabila membeli lapan pemain baharu iaitu penyerang, Victor Gyokeres: sayap, Noni Madueke, Eberechi Eze; pemain tengah, Martin Zubimendi, Christian Norgaard; pertahanan, Christian Mosquera, Piero Hincapie dan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga.
Ideanya memiliki dua pemain dengan mutu permainan hampir setaraf di setiap posisi bagi mengharungi musim.panjang di EPL, Piala FA, Piala Liga serta Liga Juara-Juara Eropah (UCL) jika berlaku masalah kecederaan dan penggantungan kesebelasan utama.
Percaturan itu sudah mula menampakkan kesan positif selepas tiga tonggak penting iaitu bek tengah, William Saliba, sayap kanan, Bukayo Saka dan kapten, Martin Odegaard mengalami kecederaan di awal musim.
Mosquera, pemain bawah 21 tahun Sepanyol yang dibeli dari kelab LaLiga, Valencia terbukti mantap mengawal kubu ketika diturunkan menentang juara bertahan Liverpool, Nottingham Forest dan aksi UCL bertemu Atletico Bilbao.
Ketiadaan Saka akibat masalah hamstring juga tidak terlalu dirasai berikutan prestasi padu pemain England dan bekas sayap Chelsea, Madueke.
Tempat Odegaard sebagai jeneral tengah kreatif lazimnya diisi pemain sedia ada seperti Mikel Merino atau bintang muda England, Ethan Nwaneri. Malah pengendali Arsenal, Mikel Arteta juga boleh menggunakan Eze seperti dibuktikan ketika bersama Crystal Palace.
Jika perancangan awal buntu, The Gunners masih boleh mengharapkan bisa pemain gantian seperti dipamerkan Gabriel Martinelli dan Leandro Trossard ketika menewaskan Bilbao 2-0 di UCL Rabu lalu.
Dalam kata lain, Arteta boleh mempelbagaikan perancangan taktikal apabila melayan satu lagi lawan handal, Manchester City di Stadium Emirates, jam 11.30 malam ini.
Musim lalu, Arsenal melakukan kejutan apabila membelasah City 5-1 di tempat sendiri, tapi saingan kali ini dijangka lebih sengit dengan pelawat turut memperkuatkan pasukan terutama pembelian penjaga gol utama Itali, Gianluigi Donnarumma yang membantu kelab Perancis, PSG menjuarai UCL buat julung kali musim lalu.
Apapun, Arsenal yang dijangka dapat menurunkan semula Odegaard dan Saliba pasti bersemangat meneruskan rentak cemerlang di tempat sendiri musim ini selepas membelasah Leeds United 5-0 dan Forest 3-0, dalam usaha meraih tiga mata penuh bagi mencabar Liverpool di takhta liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




