sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Biarpun ‘tempang’ selepas lebih separuh pemain tonggak tidak dapat diturunkan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) petang esok, Terengganu FC (TFC) tetap mempunyai misi dalam aksi Liga Super itu.
Pengendalinya, Tengku Hazman Raja Hassan menegaskan, skuadnya bakal tampil dengan persembahan sehabis baik dengan tidak sesekali mengamalkan corak permainan bertahan dalam perlawanan sukar di Stadium Sultan Ibrahim itu.
Jelas jurulatih meningkat naik kelahiran Kelantan itu, ketiadaan sembilan pemain utama sudah pasti sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukannya, namun itu bukan alasan buat anak buahnya mudah menyerah kalah.
“Kami tahu lebih awal pemain berkenaan tidak dapat diturunkan dalam perlawanan itu, jadi kami sudah melakukan perancangan lebih awal dengan memerlukan pemain berpengalaman dalam perlawanan itu.
“Pada masa sama kami juga tidak merancang untuk bermain secara bertahan, cuma kami tidak mahu pintu gol dibolosi lebih awal serta pemain tidak melakukan kesilapan mudah kerana menentang pasukan sebagus JDT pasti akan dihukum.
“Jadi kami berikrar untuk mencuba sehabis baik dengan pemain yang ada berbanding sebelum ini tewas 0-5 pada aksi pusingan pertama liga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Oktober tahun lalu,” ujar bekas ‘arkitek’ skuad kebangsaan itu.
Jelas Tengku Hazman, selain dua pemain pinjaman JDT, Haqimi Azim dan Azam Azmi yang tidak dapat diturunkan, tiga pemain utamanya iaitu Safwan Mazlan, Saiful Jamaludin dan Alif Zakaria turut tidak dapat diturunkan selepas digantung perlawanan kerana menerima kad.
“Selain itu Akhyar Rashid yang mengalami kecederaan pada bahu, Baqiuddin Shamsudin dan pemain import kelahiran Tajikistan, Shervoni Mabatshoev juga terpaksa diketepikan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya.
“Seorang lagi pemain import iaitu Yann Mabella juga terpaksa diketepikan kerana masih belum cergas sepenuhnya biarpun sudah bersama pasukan, mungkin selepas pertemuan dengan Negeri Sembilan nanti, pemain itu dijangka dapat beraksi, itupun kami perlu melihat tahap kemajuannya,” kata Tengku Hazman.
Berdasarkan carta liga, TFC kini menghuni di tangga kelima dengan mengumpul 31 mata menerusi 19 perlawanan, sekiranya menang ataupun tewas, skuad itu kekal menghuni di tangga kelima kerana perbezaan mata yang jauh dengan pasukan di kedudukan keempat dan keenam liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




