Skuad wanita Iran kembali nyanyi lagu kebangsaan selepas dilabel pengkhianat

Skuad wanita Iran kembali nyanyi lagu kebangsaan selepas dilabel pengkhianat

Sydney: Pemain pasukan bola sepak wanita Iran menyanyikan dan memberi tabik hormat kepada lagu kebangsaan mereka sebelum perlawanan terakhir Piala Asia Wanita menentang Filipina semalam, enam hari selepas tindakan berdiam diri ketika lagu kebangsaan dimainkan menyebabkan mereka dilabel pengkhianat oleh televisyen kerajaan Iran.

Iran bagaimanapun tidak lagi meneruskan cabaran dalam kejohanan itu selepas tewas 0-2 kepada Filipina di Gold Coast Stadium di negeri Queensland, Australia.

Jurulatih Iran, Marziyeh Jafari, berkata pasukannya tidak sabar untuk pulang ke tanah air.

“Kami sangat tidak sabar untuk kembali,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan. “Secara peribadi, saya mahu pulang ke negara saya secepat mungkin dan bersama rakyat serta keluarga saya.”

Beberapa penyokong yang mengibarkan bendera Iran sebelum 1979 dan mengejek lagu kebangsaan di dalam stadium cuba menghalang bas pasukan meninggalkan kawasan stadium sambil melaungkan slogan “Selamatkan wanita kami!”

Tokoh pembangkang yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Reza Pahlavi, anak kepada Shah Iran yang digulingkan dalam Revolusi Iran 1979 menggesa kerajaan Australia memastikan keselamatan pasukan tersebut selain meminta agar mereka diberikan sokongan yang diperlukan.

“Mereka berada di bawah tekanan besar dan ancaman berterusan daripada Islamic Republic of Iran,” tulis Pahlavi di platform media sosial X.

“Disebabkan tindakan berani mereka menolak untuk menyanyikan lagu kebangsaan semasa sebagai bentuk bantahan awam, mereka mungkin berdepan akibat serius jika pulang ke Iran.”

Kempen Iran di Australia bermula minggu lalu ketika Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran yang dilaporkan membunuh pemimpin tertinggi republik itu, Ali Khamenei.

Pemain Iran sebelum ini tidak menyanyikan lagu kebangsaan ketika berdepan Korea Selatan dalam perlawanan pembukaan pada 2 Mac.

Seorang pengulas di stesen televisyen Iran mengkritik tindakan itu sebagai tidak patriotik dan menyifatkannya sebagai “kemuncak kehinaan”.

Namun mereka kemudian menyanyikan lagu kebangsaan dan memberi tabik hormat sebelum kekalahan kedua menentang tuan rumah pada Khamis, mencetuskan kebimbangan aktivis hak asasi manusia mereka mungkin dipaksa berbuat demikian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top