SHAH ALAM – Pemaju bandar, SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) merangkul Anugerah Perak Dunia dalam kategori Residential High Rise menerusi pembangunan SkyLuxe On The Park Residences di Bukit Jalil di FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2025.
Sebelum ini, syarikat tersebut memenangi Anugerah Emas menerusi projek SkyAwani 2 dan SkyAwani 3 Residences dalam kategori Perumahan Mampu Milik masing-masing pada edisi 2023 dan 2024 sekali gus membuktikan prestasi konsisten mereka di pentas antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Chee Seng berkata, pengiktirafan itu memperluas kejayaan mereka sebagai pemaju perumahan mampu milik kepada kediaman bertingkat tinggi yang cemerlang.
Menurutnya, kemenangan di FIABCI World Prix d’Excellence Awards selama tiga tahun berturut-turut merupakan pencapaian bermakna selain membuktikan mereka berupaya membina rumah berkualiti dan bersedia membawa perubahan positif kepada masyarakat.
“Kami berbangga kerana menerima pengiktirafan dalam kategori baharu, memperluas kejayaan kami daripada perumahan mampu milik kepada kediaman bertingkat tinggi yang cemerlang.
“Kemenangan di FIABCI World Prix d’Excellence Awards untuk tahun ketiga berturut-turut merupakan satu pencapaian bermakna buat kami di SkyWorld.
“Ia membuktikan bahawa fokus kami dalam membina rumah berkualiti dan bersedia untuk masa hadapan benar-benar membawa perubahan positif dalam kehidupan masyarakat.
“SkyLuxe On The Park Residences dibina dengan susun atur yang bijak sehinggalah kepada akses yang lancar ke kawasan hijau,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, menurut Chee Seng, SkyLuxe On The Park Residences yang siap sepenuhnya pada Februari 2020 menempatkan 477 unit tanah pegangan bebas yang terletak bersebelahan Taman Rekreasi Bukit Jalil, melalui dua menara setinggi 44 tingkat.
Tambah beliau, reka bentuk ikonik menara menari dengan teres langit dan susun atur balkoni yang pelbagai memberikan variasi seni bina selain disesuaikan landskap semula jadi.
Jelasnya, ia selaras dengan falsafah SkyWorld Healthy Home yang menekankan pengudaraan semula jadi, akses kepada kehijauan dan ketelitian perancangan ruang rumah.
Selain itu, projek tersebut turut menawarkan kemudahan bertaraf resort termasuk kolam infiniti dan gimnasium bertingkat yang direka untuk menyokong gaya hidup bandar lebih sihat serta seimbang.
“SkyLuxe On The Park Residences turut menerima pelbagai pengiktirafan industri atas kualiti reka bentuk dan pembinaannya.
“Dengan pencapaian Skor Tinggi Sistem Penilaian Kualiti Bagi Projek Pembinaan (QLASSIC) sebanyak 85 peratus dalam tahun 2020 bagi Kategori Kediaman Bertingkat Tinggi, ia merupakan skor tertinggi di Malaysia bagi tahun tersebut,” katanya.