Liverpool: Pengendali Liverpool, Arne Slot percaya pasukannya sudah menghantar isyarat jelas kepada Paris Saint-Germain (PSG) selepas membelasah Galatasaray 4-0 untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).
PSG sebelum ini menyingkirkan Liverpool menerusi penentuan penalti pada pusingan 16 terbaik musim lalu sebelum muncul juara buat kali pertama.
Ketika pertemuan itu, Liverpool berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), namun musim ini mereka berdepan cabaran lebih sukar di bawah Slot.
The Reds kini menghuni tangga kelima EPL dan terpaksa bangkit selepas tewas 0-1 pada aksi pertama di Istanbul.
Bagaimanapun, keputusan tidak lagi menjadi persoalan sebaik Dominik Szoboszlai menyamakan agregat pada minit ke-25 di Anfield.
Hugo Ekitike, Ryan Gravenberch dan Mohamed Salah kemudian menambah jaringan pada babak kedua, meskipun Salah turut terlepas sepakan penalti.
Kemenangan itu hadir selepas Liverpool diejek penyokong sendiri susulan keputusan seri 1-1 menentang Tottenham sebelum ini.
“Mereka tidak menurunkan standard. Sukar untuk mereka meningkat lagi, tetapi setakat ini mereka sangat mengagumkan.
“Namun selepas malam ini, saya rasa mereka juga tidak akan menantikan untuk berdepan kami,” kata Slot mengenai PSG.
Musim lalu, Liverpool mencatat kemenangan 1-0 di Parc des Princes walaupun terpaksa bertahan sepanjang perlawanan.
Namun, PSG membalas di Anfield dengan kemenangan sama sebelum menyingkirkan Liverpool menerusi penalti.
“Kami benar-benar ditewaskan di tempat lawan. Tetapi di Anfield kami bermain dengan sangat baik sebelum tewas menerusi penalti,” kata Slot.
Keputusan Slot merehatkan beberapa tonggak utama ketika menentang Tottenham sebelum ini terbukti berkesan.
Salah antara pemain yang kembali dalam kesebelasan utama dan berjaya meledak gol ke-50 dalam UCL walaupun berdepan kekecewaan selepas gagal menyempurnakan penalti.
“Ia menunjukkan mentaliti dia. Selepas terlepas penalti sebelum rehat, ia bukan situasi mudah.
“Tetapi dia kembali pada separuh masa kedua dengan aksi cemerlang, mencipta bantuan jaringan kepada Hugo dan menjaringkan gol dengan gaya tersendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




