London: Arne Slot dijangka terus kekal sebagai ketua jurulatih Liverpool musim depan ketika kelab itu semakin hampir untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), lapor Sky Sports News.
Sebarang keraguan mengenai masa depan jurulatih dari Belanda itu dilihat semakin reda apabila jurang tujuh mata kini terbuka antara Liverpool di tempat kelima dan Chelsea di tempat keenam.
Tempat kelima akan menjamin tiket ke UCL musim depan selepas Arsenal mara ke separuh akhir dan prestasi Liverpool semakin meningkat ketika Chelsea pula semakin merosot.
Slot yang membawa Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lalu, berdepan tekanan dalam musim keduanya, dengan The Reds dijangka menamatkan kempen tanpa trofi dan jauh ketinggalan di belakang Arsenal serta Manchester City.
Namun, bercakap dalam rancangan Monday Night Football, Jamie Carragher berkata: “Kerja Arne Slot telah diperkatakan sepanjang musim. Kami banyak membincangkannya dalam Monday Night Football.
“Mungkin ada perpecahan dalam kalangan penyokong Liverpool sama ada dia patut kekal atau tidak, tetapi apa yang saya dengar, Slot akan menjadi pengurus Liverpool musim depan jika mereka berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara, yang ketika ini nampak seperti akan berlaku.”
Sky Sports News memahami perkara itu selepas musim penuh spekulasi mengenai masa depan Slot, dengan musim peralihan di Anfield membawa pelbagai kekecewaan di dalam dan luar padang.
Slot dijangka terus mendapat sokongan pihak pengurusan menjelang jendela perpindahan musim panas apabila rombakan skuad dijangka dilakukan susulan pengumuman Mohamed Salah akan meninggalkan kelab.
Pemain RB Leipzig, Yan Diomande antara sasaran utama mereka untuk posisi penyerang baharu, manakala beberapa posisi lain turut sedang dipertimbangkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




