Slot 'gali kubur sendiri' jika Liverpool kena bedal lagi

Slot 'gali kubur sendiri' jika Liverpool kena bedal lagi

Pertembungan Liverpool dengan West Ham di tempat lawan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini sepatutnya bakal milik skuad kendalian Arne Slot susulan rekod dan sejarah pertemuan kedua-dua pasukan jelas milik The Reds.

Stadium London secara tradisinya venue kegemaran penyerang Liverpool untuk mengganas. Musim lalu, The Reds belasah West Ham 5-0 di sini dan meledak 25 gol di stadium tersebut dalam saingan EPL, hanya sedikit di belakang Manchester City (28) dan Arsenal (26).

The Hammers pula kali terakhir menang di tempat sendiri ke atas Liverpool pada November 2021 tetapi berdasarkan situasi terkini kedua-dua pasukan, mengulanginya bukan sesuatu yang mustahil.

Skuad kendalian Nuno Espirito Santo hanya berada di atas Leeds di tangga ke-18 berdasarkan perbezaan gol yang lebih baik dan semakin menyerlah di Stadium London sejak akhir-akhir ini serta meraih tujuh mata daripada sembilan aksi terakhir dalam saingan liga.

West Ham juga berpeluang menang tiga perlawanan liga berturut-turut di tempat sendiri dalam satu musim dengan kali terakhir berlaku pada Oktober 2022.

Jika perlawanan malam ini berlangsung dua bulan lalu, penyokong West Ham mungkin sudah awal mengangkat bendera putih tapi sekarang, suasana di Stadium London berbeza, penuh keyakinan selepas perubahan mendadak prestasi.

Liverpool sebaliknya semakin merudum minggu demi minggu menyaksikan Slot mungkin terpaksa ‘menggali kubur sendiri’ jika kunjungan ke West Ham United bertukar menjadi mimpi ngeri sekali lagi. Mimpi menakutkan yang boleh menjadi realiti susulan rekod-demi rekod memalukan dicipta.

Kekalahan 1-4 kepada PSV Eindhoven dalam Liga Juara-Juara menyaksikan kali pertama dalam tempoh 72 tahun Liverpool tewas tiga perlawanan berturut-turut dengan margin tiga gol atau lebih.

Kekalahan 0-3 kepada Manchester City dan Nottingham Forest dalam liga, menyebabkan mereka terperosok di tangga ke-12 dan ramai berasakan tempoh Slot sudah patut berakhir. Namun buat masa ini, pihak atasan Liverpool masih memberi peluang kepada pengurus dari Belanda itu.

Persoalannya, berapa lama lagi? Berapa banyak lagi kekalahan atau rekod buruk yang bakal tercipta sebelum pengurusan kelab bertindak?

Zon penyingkiran semakin melambai dan malam ini Liverpool berisiko mencipta satu lagi sejarah buruk jika dibolosi tiga gol atau lebih dalam tiga perlawanan liga berturut-turut buat kali pertama sejak 1955.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top