‘Slot punca Salah tinggalkan Liverpool’

‘Slot punca Salah tinggalkan Liverpool’
‘Slot punca Salah tinggalkan Liverpool’

Salah (dua dari kanan) akan meninggalkan Liverpool hujung musim ini. Foto AFP

LEGENDA bola sepak Mesir, Mohamed Aboutrika mendedahkan bahawa punca utama bintang Liverpool, Mohamed Salah memutuskan untuk meninggalkan Anfield adalah disebabkan hubungan dinginnya dengan pengurus pasukan, Arne Slot.

Salah mengejutkan dunia bola sepak minggu lalu apabila mengumumkan akan menamatkan kariernya bersama The Reds pada penghujung musim ini meskipun kontrak lumayannya masih berbaki setahun.

Pendedahan itu mencetuskan pelbagai spekulasi, namun Aboutrika yang juga rakan karib dan bekas rakan sepasukan Salah mendakwa, beliau telah bercakap secara peribadi dengan pemain itu selepas pengumuman berkenaan dibuat.

Bercakap dalam rancangan beIN Sport, Aboutrika mendakwa bahawa Slot secara halus telah ‘menolak’ Salah keluar daripada pasukan.

“Salah satu sebab utama Mohamed Salah meninggalkan Liverpool adalah kehadiran Arne Slot kerana kita telah melihat banyak isu timbul sejak kebelakangan ini.

“Kamu (Slot) telah menolak Salah pergi. Salah hanya mempunyai kontrak dua tahun dengan Liverpool… dia mahu bekerja dengan tenang dan menikmati fasa seterusnya dalam karier tanpa perlu membuktikan apa-apa kepada Slot atau sesiapa sahaja,” katanya.

Menurut Aboutrika lagi, beliau telah memberikan pandangannya kepada Salah mengenai destinasi seterusnya yang patut disertai penyerang berbisa itu.

“Hubungan saya dengannya adalah atas dasar persaudaraan dan persahabatan. Saya menyayanginya kerana ALLAH dan tidak akan menggunakan hubungan ini untuk kepentingan kerja.

“Saya telah memberitahunya pandangan saya mengenai destinasi seterusnya, namun Salah seorang yang bijak dan tidak memerlukan sesiapa untuk membimbing atau memberinya nasihat,” ujarnya.

Walaupun Liverpool berjaya memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris dalam musim pertama Slot di Anfield, hubungan antara Salah dan pengurus itu dikatakan sentiasa tegang.

Pada November lalu, Salah pernah secara terbuka menyatakan bahawa dia ‘tidak mempunyai hubungan’ dengan Slot dan merancang untuk pergi selepas merasakan kelab seolah-olah mengkhianatinya.

Scroll to Top