Slot tak bimbang dengan tiga pemain bintangnya

Slot tak bimbang dengan tiga pemain bintangnya

London: Arne Slot menolak spekulasi yang mengaitkan Trent Alexander-Arnold dengan perpindahan ke Real Madrid, sambil menegaskan dia tidak bimbang tentang tiga pemain bintangnya yang berada dalam tahun terakhir kontrak mereka.

Kontrak Alexander-Arnold, Mohamed Salah, dan Virgil van Dijk akan tamat pada akhir musim ini, bermaksud mereka semua boleh meninggalkan Anfield secara percuma.

Situasi ini mungkin sesuatu yang buruk buat kelab, tetapi Slot menegaskan bahawa dia tidak terkesan dengan hal itu dan pemainnya juga gembira serta fokus pada tugas yang menanti mereka musim ini.

Alexander-Arnold menjadi sasaran utama Real Madrid yang mungkin akan memulakan perbincangan Januari ini jika dia tidak menandatangani kontrak baru, tetapi pengurus Belanda itu tenang menangani situasi itu.

“Pemain ini sudah biasa dikaitkan dengan semua kelab terkemuka setiap hari.

“Sama ada mereka mempunyai kontrak atau tidak. Jika anda fikir mereka terganggu dengan perkara itu maka saya rasa anda tidak tahu betapa kuatnya mereka dari segi mental dan apa yang mereka sudah biasa lalui. Ini adalah sebahagian daripada tugas kami.”

“Saya berada di Feyenoord tahun lalu dan mereka mengaitkan saya dengan banyak kelab dan sebelum itu juga. Ini adalah sebahagian daripada kehidupan.

“Anda hanya perlu fokus pada apa yang perlu dilakukan. Mungkin jika anda berumur 17 atau 18 tahun, itu mungkin sukar bagi anda. Tetapi Trent sudah memenangi liga, sudah memenangi Liga Juara-Juara.

“Virgil (van Dijk) dan Mo (Salah) juga begitu. Saya tidak fikir itu menjadi masalah bagi mereka untuk beraksi. Itu juga yang kami lihat pada masa ini kerana mereka bermain dengan sangat baik,” kata Slot.

Tidak mengejutkan, soalan mengenai masa depan tiga nama bintang itu kerap diajukan kepada pengendali Liverpool itu, tetapi dia tidak mempunyai maklumat terkini untuk diberikan dan mengulangi bahawa dia tidak begitu peduli tentang topik itu.

“Bagi saya, ini bukan sesuatu yang saya bimbangkan.

“Jika selepas perlawanan terakhir musim ini dimainkan, mungkin saya akan merasa risau memikirkan ‘adakah mereka di sini atau tidak?’

“Tetapi fokus utama saya sekarang adalah jangka pendek dan saya rasa dalam bola sepak, ia lebih kepada jangka pendek terutama jika anda seorang pengurus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top