WASHINGTON: Menteri Luar Slovenia, Tanja Fajon pada Khamis menyeru agar peperangan zionis Israel dihentikan terhadap Hamas di Gaza dan Hizbullah di Lubnan, serta menuntut keamanan di Timur Tengah yang lebih meluas.
Beliau juga menggesa lebih banyak negara mengikut jejak langkahnya dengan mengiktiraf Palestin sebagai negara yang berdaulat dan merdeka, dan menyeru kerajaan Israel untuk berundur dari wilayah Palestin yang didudukinya mengikut peraturan dan undang-undang antarabangsa, serta menghormati Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Arab News.
“Saya menggesa negara lain untuk mengikuti contoh kita dan mengiktiraf negara Palestin sebagai negara berdaulat, negara merdeka, dan memberi harapan kepada penduduk Palestin,” katanya.
Seruannya kepada masyarakat antarabangsa itu dilakukan berikutan mesyuarat tidak rasmi peringkat tinggi, yang dipengerusikan oleh Slovenia dalam peranannya sebagai presiden Majlis Keselamatan PBB bulan ini, antara ahli majlis dan setiausaha agung, serta wakil dari Liga Arab.
Daripada 193 negara anggota PBB, sebanyak 146 kini secara rasmi mengiktiraf kenegaraan Palestin, di mana Slovenia menjadi salah satu daripada mereka pada Jun lalu berikutan undian di mana 52 ahli parlimennya mengundi untuk menyokong dan tidak ada yang menentang.
Menyentuh mengenai perang berterusan Israel ke atas Gaza dan peningkatan permusuhan terhadap Hizbullah di Lubnan, Fajon berkata beliau sangat bimbang tentang kemungkinan permusuhan yang mungkin akan merebak ke seluruh rantau Timur Tengah.
“Slovenia telah meminta penghentian dan keamanan sejak permulaan konflik.
“Adalah menjadi tanggungjawab bersama kami untuk menghormati resolusi Majlis Keselamatan dan melakukan segala-galanya dalam kuasa kami untuk mempunyai penyelesaian politik kerana tiada penyelesaian ketenteraan yang boleh membawa keamanan ke rantau ini,” katanya.
Lebih 41,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan ribuan yang lain cedera di Gaza sejak konflik Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober tahun lalu, di mana ramai daripada mereka merupakan wanita dan kanak-kanak. – HARAKAHDAILY 27/9/2024








