SMART selamat mendarat di Myanmar, akan terus ke lokasi operasi gempa bumi

SMART selamat mendarat di Myanmar, akan terus ke lokasi operasi gempa bumi

mhafis@mediaprima.com.my

Subang: Seramai 50 pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nay Pyi Taw, Myanmar akan terus bergerak ke kawasan operasi gempa bumi melalui jalan darat yang mengambil masa lapan jam.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, pesawat pertama RMF 141 yang membawa pasukan itu mendarat pada 11.16 pagi, manakala pesawat kedua RMF 142 mendarat di lapangan terbang pada 2 petang.

“Selepas ini mereka akan bergerak ke kawasan operasi di Sagaing Division melalui jalan dara tyang akan mengambil masa lapan jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan 50 pegawai dan anggota SMART dijangka berada di Naypyidaw, Myanmar bagi misi bantuan kemanusiaan selama tujuh ke 14 hari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan Malaysia amat bersimpati dengan bencana yang berlaku di Myanmar dan menggerakkan pasukan SMART ke negara jiran itu dengan segera.

“Mereka semua diletakkan di bawah SMART yang diselaraskan oleh NADMA dan kita berharap mereka akan berada di lokasi kejadian antara tujuh hingga 14 hari, bergantung pada keperluan.

“Kita juga mengharapkan bantuan ini akan mempercepatkan operasi Search and Rescue (SAR), di mana pasukan antarabangsa dari beberapa negara telah turut menghantar bantuan,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Subang, di sini, hari ini.

Terdahulu, 49 anggota dan seorang komander pasukan SMART terdiri daripada 16 anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (13 orang) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) (21 orang) berlepas ke Myanmar pada 9.30 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top