PETALING JAYA: Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mencatatkan pencapaian bersejarah apabila dinamakan sebagai Hospital Nombor 1 di Malaysia bagi bidang Pediatrik dalam ranking Hospital Khusus Terbaik Dunia 2027 oleh penerbitan terkemuka antarabangsa, Newsweek.
Pengiktirafan sulung dalam senarai berkenaan sekali gus meletakkan SMC setaraf dengan hospital terkemuka dunia seperti Mayo Clinic – Rochester, Cleveland Clinic dan Johns Hopkins Hospital dari Amerika Syarikat (AS) yang turut tersenarai dalam kedudukan global merangkumi 13 bidang kepakaran perubatan.
Dalam senarai yang sama, Onkologi diiktiraf sebagai bidang rawatan paling cemerlang bawah kepakaran pediatrik SMC, di samping turut meraih kedudukan No. 1 di Malaysia bagi bidang Neurologi serta ranking tertinggi tempatan untuk Onkologi.
Memuatkan artikel berkaitan…
Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, pengiktirafan berprestij itu dicapai tepat pada masanya berikutan perkembangan pesat perkhidmatan pediatrik hospital menerusi pembukaan Menara F, iaitu Menara Kanak-Kanak khas berkapasiti 216 katil.
“Pengiktirafan ini amat bermakna bagi hospital utama kami kerana ia mencerminkan perkembangan dalam kepakaran pediatrik, onkologi dan neurologi di peringkat serantau.
“Menara Kanak-Kanak baharu ini menghimpunkan pelbagai perkhidmatan subkepakaran pediatrik, termasuk hematologi dan onkologi pediatrik yang disokong oleh pasukan multidisiplin,” katanya dalam kenyataan.
SMC kini mempunyai Pusat Kesihatan dan Perkembangan Kanak-kanak yang menyediakan rangkaian subkepakaran pediatrik paling menyeluruh dalam kalangan hospital swasta di Malaysia.
Selain itu, SMC merupakan hospital swasta pertama di negara ini yang menubuhkan Pusat Kecemasan dan Walk-In Kanak-Kanak 24 jam dengan kelengkapan Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) yang komprehensif serta kemudahan wad pesakit dalam khas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Erica Lam berkata, penarafan oleh Newsweek itu membuktikan komitmen hospital terhadap kecemerlangan klinikal dan penjagaan berpusatkan pesakit.
“Dengan pembukaan Menara Khusus Kanak-Kanak, pesakit kini mempunyai akses kepada penjagaan bersepadu dan komprehensif merangkumi konsultasi, diagnosis dan rawatan yang disokong pasukan pelbagai disiplin.
“Kami kekal komited untuk memperkukuh kecemerlangan klinikal serta memperluas perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus bagi memastikan standard tertinggi dari segi keselamatan, kepuasan dan hasil rawatan pesakit,” katanya.
Tambahnya, Menara F direka khas dengan pendekatan berteraskan kanak-kanak dan keluarga menerusi kelengkapan mengikut peringkat umur, persekitaran ceria serta pemandangan hijau bagi menyokong proses penyembuhan holistik.
Pencapaian terbaharu ini mengukuhkan lagi pengiktirafan SMC dalam pelbagai kedudukan penjagaan kesihatan anjuran Newsweek, selepas tersenarai buat tahun keempat berturut-turut dalam Hospital Khusus Terbaik Asia Pasifik 2026 merangkumi lapan bidang kepakaran.
SMC juga memegang kedudukan hospital pertama di Malaysia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia bagi tahun 2025 dan 2026, serta dinobatkan sebagai hospital terbaik tanah air dalam carta Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh penerbitan sama.
Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia dan hospital utama bawah Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway (SHG), SMC disokong oleh lebih 300 perunding perubatan residen merangkumi 80 bidang kepakaran serta 28 Pusat Kecemerlangan.
Dengan pembukaan Menara F, kapasiti katil berlesen SMC kini meningkat kepada 961 katil, membolehkan penyampaian perkhidmatan rawatan kompleks dan khusus dilaksanakan secara lebih meluas.
SMC turut mencatatkan sejarah sebagai hospital swasta pertama di Malaysia yang meraih tiga akreditasi hospital utama iaitu Gold Seal of Approval dari Joint Commission International (JCI) AS, Australian Council on Healthcare Standards International (ACHSI) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH). –UTUSAN




