
Pemain SMK Dato’ Harun meraikan kejayaan menjulang Piala Datuk Mokhtar Dahari. FOTO: Foto Sinar Harian – ROSLI TALIB.
SMK Dato’ Harun menamatkan penantian selama tujuh tahun apabila merangkul kejuaraan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) selepas menewaskan SMK Tinggi Kajang 2-0 pada aksi final di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Jumaat.
Kejayaan tersebut menyaksikan SMK Dato’ Harun menjulang trofi berprestij itu buat kali ketiga selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2018.
Dua jaringan menerusi Muhammad Aidil Izham Shahrom pada minit ke-34 dan Muhammad Fathi Iqbal Firdaus sembilan minit kemudian sudah cukup untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan dari Tanjung Karang itu.
Ketua jurulatih SMK Dato’ Harun, Mohd Zulfadli Mohamad Ali menzahirkan rasa syukur atas komitmen tinggi serta semangat juang yang dipamerkan anak buahnya sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kita memang layak menang kerana pemain berhempas pulas sejak peringkat awal lagi. Banyak dugaan yang dihadapi sehingga ke final ini, jadi Alhamdulillah.

SMK Dato’ Harun menamatkan penantian tujuh tahun untuk menjulang Piala Datuk Mokhtar Dahari. FOTO: Foto Sinar Harian – ROSLI TALIB.
“Syabas kepada semua pemain. Mereka berjuang habis-habisan dan hasilnya kami berjaya muncul juara selepas menunggu begitu lama,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Mengulas mengenai aspek taktikal, Mohd Zulfadli berkata, perubahan strategi pada babak kedua membantu pasukannya menguasai permainan dengan lebih baik.
“Pada separuh masa kedua, kita mula dapat rentak permainan sebenar. Saya menukar taktikal pemain sayap masuk ke bahagian tengah kerana melihat ruang di bahagian tengah lawan agak longgar,” katanya.
Sebagai juara, SMK Dato’ Harun membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala iringan dan pingat.
SMK Tinggi Kajang selaku naib juara pula menerima pingat dan hadiah wang tunai RM7,000.
Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik SMK Meru manakala SMK Seksyen 19 menamatkan saingan di tempat keempat.
Kejohanan berprestij ini mendapat tajaan utama daripada Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi kategori bawah 18 dan bawah 15 tahun, manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi kejohanan.



