SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 (Selangor) terus berusaha meletakkan diri dalam kelompok lima teratas Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2025 dengan rakan strategik 100PLUS selepas melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas SMK Mutiara Impian (Pulau Pinang).
Selaku tuan rumah, SMK Seksyen 11 nyata mendominasi saingan dan mendahului 1-0 hasil rembatan rendah Syed Shahir Aidil Syed Zahabi pada minit ke-13.
Jaringan tersebut menyuntik semangat juang anak didik Lafizulnizam Abd Latip apabila mereka selesa mendahului 2-0 di babak pertama menerusi Oskar Yusof Oskar Hasdinor yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol lawan, Mohd Taufik Amri.
Pelawat bagaimanapun bangkit di babak kedua dengan permainan yang lebih kemas dan berjaya merapatkan jurang menerusi Muhd Fariz Abdullah pada minit ke-39.
Deretan peluang terhidang untuk SMK Mutiara Impian merapatkan kedudukan, namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang, sekali gus keputusan 2-1 kekal memihak kepada SMK Seksyen 11 hingga tamat perlawanan.
Meskipun ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat SMK Seksyen 11, jurulatih Lafizulnizam masih belum mahu mendabik dada kerana menyedari masih banyak yang perlu diperbaiki oleh anak didiknya.
“Kita bermula dengan baik dan mendapatkan gol awal, tetapi kita sedikit terdesak pada separuh masa kedua. Sepatutnya pemain-pemain perlu lebih cepat serasi di awal permainan.
“Kita terpaksa bertahan sehingga tamat perlawanan untuk dapatkan kemenangan pertama di tempat sendiri.
“Kekalahan pertama dalam aksi pembukaan membangkitkan semangat pemain-pemain untuk bangkit dan membetulkan kesilapan, serta berjaya meraih kemenangan pada perlawanan kedua,” katanya.
Sementara itu, pembantu jurulatih SMK Mutiara Impian, Muhd Rakhi Mat Saat berkata, gol awal yang dilepaskan sedikit menjejaskan momentum pasukannya, namun percaya ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.
“Gol awal mengejutkan kami dan gol kedua pula berpunca daripada kesilapan penjaga gol – mungkin dia kurang yakin atau tertekan. Separuh masa kedua kami melakukan pertukaran dan memperkukuh bahagian serangan.
“Tiga perlawanan ini masih belum mencerminkan prestasi sebenar pemain.
“Kebiasaannya selepas lima perlawanan kita akan dapat menilai tahap sebenar prestasi mereka, dan ketika ini juga kami sedang menguji pemain-pemain,” katanya.
SMK Seksyen 11 kini menghuni tangga kelima, berkongsi enam mata dengan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (Kedah) dan SMK Taman Desa Skudai (Akademi JDT), manakala SMK Mutiara Impian di tangga keenam dengan empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.