Setia Alam: SMK Seksyen 11 terus berusaha untuk meletakkan diri dalam kelompok lima teratas kumpulan A kejohanan bolasepak Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2025 dengan rakan strategik 100PLUS selepas melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas SMK Mutiara Impian.
Selaku tuan rumah, SMK Seksyen 11 nyata mendominasi saingan dan mendahului 1-0 hasil rembatan rendah Syed Shahir Aidil Syed Zahabi di minit ke 13.
Jaringan itu nyata menyuntik semangat juang anak didik Lafizulnizam Abd Latip apabila selesa mendahului 2-0 di babak pertama menerusi Oskar Yusof Oskar Hasdinor yang memanfaat kesilapan penjaga gol lawan, Mohd Taufik Amri.
Pelawat bagaimanapun bangkit di babak kedua dengan permainan yang lebih kemas dan berjaya merapatkan jurang menerusi Muhd Fariz Abdullah di minit ke 39.
Deretan peluang terhidang untuk SMK Mutiara Impian merapatkan jurang namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang sekali gus kedudukan 2-1 memihak SMK Seksyen 11 kekal hingga tamat perlawanan.
Meskipun ini adalah kemenangan kedua berturut turut SMK Seksyen 11, namun Lafizulnizam belum mahu mendabik dada kerana masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh anak didiknya.
“Kita bermula dengan baik dan mendapatkan gol awal tetapi kita sedikit terdesak di separuh masa kedua. Seharusnya pemain pemain perlu lebih cepat serasi di awal dan kita terpaksa bertahan sehingga tamat perlawanan untuk dapatkan kemenangan pertama di tempat sendiri.
“Kekalahan pertama dalam aksi pembukaan membangkit semangat pemain pemain untuk bangkit dan membetulkan kesilapan dan berjaya meraih kemenangan pada perlawanan kedua,” kata Lafizulnizam Abd Latip.
Sementara pembantu jurulatih SMK Mutiara Impian, Muhd Rakhi Mat Saat, gol awal sedikit menjejaskan momentum anak didiknya namun percaya ia ada salah satu daripada proses pembelajaran untuk mereka.
“Gol awal mengejutkan kami dan gol kedua pula kerana kesilapan penjaga gol mungkin dia kurang yakin atau tertekan. Separuh masa kedua kami melakukan pertukaran dan kuatkan di bahagian serangan.
“Tiga perlawanan ini masih belum dapat lihat lagi bagaimana prestasi semasa pemain. Kebiasaannya selepas lima perlawanan kita akan dapat lihat bagaimana prestasi mereka da ketika ini juga kita sedang menguji pemain pemain,” kata Muhd Rakhi
© New Straits Times Press (M) Bhd