
SMK Shah Alam mengesahkan slot final Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 selepas menjinakkan SMK Darul Ehsan dalam aksi separuh akhir pada Jumaat.
JUARA Piala Sumbangsih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam berada di landasan tepat merangkul kejuaraan berganda selepas mengesahkan kemaraan ke pentas perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B-15) pada Jumaat.
Dalam perlawanan separuh akhir di padang A Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, angkatan Mohd Akid Aiman Mohd Zanggi yang merupakan pilihan berjaya menyingkirkan cabaran pasukan sensasi SMK Darul Ehsan, 2-1.
Bagaimanapun SMK Darul Ehsan yang menang besar 5-1 ke atas Maktab Sains Rendah Mara (MRSM) Sungai Besar di suku akhir terlebih dulu memimpin perlawanan hasil jaringan Wan Faysal Arman Wan Faizal Anuar pada minit ke-14.
Biarpun begitu Vincenzo Oliveo D’Dozzel Donny kembali meletakkan SMK Shah Alam semula dalam permainan hasil jaringan minit ke-23.



