SMK Tunku Anum hilang dua mata

SMK Tunku Anum hilang dua mata

Jitra: Perjuangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman untuk berada di kelompok atas Kumpulan A, Kejohanan Bolasepak Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2025 dengan rakan strategik 100PLUS masih menyala biarpun rekod kemenangan seratus peratus mereka tercalar pada perlawanan keenam yang berlangsung semalam.

Melayan kunjungan pasukan dari pantai timur, SMK Ibrahim Fikri, tuan rumah mendahului di minit ke 26 hasil jaringan Muhd Haikal Dawisy Zulhairi selepas hantaran silangnya melepasi jangkauan penjaga gol pelawat Muhd Aidil Rayyan Amrul Ridzuan.

Jaringan itu nyata menyuntik semangat anak didik Mohd Azizi Abdul Aziz yang menggandakan asakan untuk terus menekan pemain lawan.

Di kala tuan rumah leka mengatur serangan, SMK Ibrahim Fikri kendalian Ahmad Shahiruddin Abd Manan merentap semangat pemain SMK Tunku Anum apabila menjaringkan gol penyamaan di minit 49 menerusi Muhd Mirza Isyraf Rohaimi.

Tiada pertambahan jaringan tercipta sehingga tamat perlawanan sekali gus kedua dua pasukan pulang dengan satu mata.

Bagi Mohd Azizi, kealpaan terutama di separuh masa kedua nyata mengundang padah walaupun berjaya untuk mendahului di babak pertama perlawanan.

“Separuh masa kedua kita banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya terutama di tempat sendiri dan memberi peluang kepada SMK Ibrahim Fikri untuk melakukan sepakan percuma dan dihukum dengan jaringan hasil kesilapan pemain sendiri,” kata Ketua Jurulatih SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.

Tambahnya, keputusan seri ini turut menyaksikan impian untuk melebarkan rekod kemenangan seratus peratus dalam kesemua enam perlawanan setakat ini tidak kesampaian. Justeru perlu menambah baik untuk kekal di kelompok teratas kumpulan A.

“Pasukan kami banyak melepaskan peluang satu lawan satu dengan penjaga gol lawan kerana sekurang kurangnya dua atau tiga peluang dalam setiap perlawanan.

“Kita mensasarkan untuk mencapai 27 mata dalam saingan liga dan cuba untuk mencapai kemenangan terutama di laman sendiri,” kata Azizi lagi.

Selepas mengharungi enam perlawanan, SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman menghuni tangga kedua Kumpulan A dengan 16 mata, 2 mata didepan pendahulu Akademi Mokhtar Dahari B14.

Dalam pada itu, satu mata yang diraih oleh SMK Ibrahim Fikri adalah sesuatu yang bermakna buat skuad kendalian Ahmad Shahiruddin yang masih mencari cari kemenangan pertama.

“Sewaktu kami ketinggalan, saya sering tekan kepada pemain mereka harus berjuang selagi wisel penamat belum ditiup. Kita berjaya untuk membalas semula ketinggalan gol tetapi masih belum menamatkan penantian tiga mata pertama.

“Kita berjaya mencipta gerakan dan peluang tetapi penyudah menjadi masalah utama kami dan masih mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Masih ada ruang untuk mereka bangkit pada perlawanan seterusnya,” kata Ahmad Shahiruddin.

SMK Ibrahim Fikri kini menghuni tangga ke sembilan dengan lima mata selepas beraksi enam perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top