'Soal Adendum, di sini baru saya nak jawab' – Anwar

'Soal Adendum, di sini baru saya nak jawab' – Anwar

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah menyembunyikan Titah Adendum yang dikatakan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Anwar berkata, beliau sebelum ini enggan mengulas dan membahaskan berhubung titah tambahan berkenaan kerana ia di bawah bidang kuasa mutlak Yang di Pertuan Agong ke-17 yang tidak membolehkannya mengatasi intitusi diraja.

Namun katanya, sebelum itu beliau antara individu awal yang membawa agenda berhubung Najib di dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan.

“Soal Adendum, di sini baru saya nak jawab… Dua minggu saya tak jawab yang kita kena faham macam mana undang-undang kita.

“Siapapun, bila dia hukum masuk penjara, dia boleh rayu kepada raja sebelum keputusan dibuat oleh Lembaga Pengampunan.

“Dalam kes Datuk Seri Najib, ada dikemukakan rayuan dan saya membawanya (agenda itu) dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) tahun lalu untuk diteliti (YDPA) dengan mengemukakan semua laporan berkaitan yang sebab itu kita tidak boleh bahas dalam Parlimen apatah lagi yang pengerusikan (sebelum ini) YDPA dulu dan sekarang YDPA (sekarang), bukan sebab kita sorok,” katanya ketika berucap pada Program Muhibbah Madani anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), di sini, hari ini.

Jelasnya, keputusan Titah Adendum itu sekadar nasihat Peguam Negara kepada YDPA yang lalu yang beliau hadir pada ketika itu.

“Apa-apa keputusan (Titah Adendum) adalah keputusan mutlak YDPA tetapi dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan,” katanya.

Sementara itu, Anwar menemplak sikap pemimpin pembangkang yang seolah-olah menyalahkan beliau berhubung isu Titah Adendum membabitkan Najib.

Katanya, beliau hairan mengapa dirinya dipersalahkan, sedangkan beliau sendiri pernah membentangkan rayuan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum ini Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan mengambil masa untuk mengiktiraf kewujudan Titah Adendum berkenaan kerana perlu berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top