‘Sokong Demokrat atau berdepan akibat sangat serius’ – Trump beri amaran kepada Musk

‘Sokong Demokrat atau berdepan akibat sangat serius’ – Trump beri amaran kepada Musk

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran kepada jutawan teknologi, Elon Musk bahawa beliau akan berdepan “akibat yang sangat serius” sekiranya menyokong Demokrat pada masa depan susulan perselisihan mereka, lapor agensi berita Jerman (dpa).

“Dia akan berdepan akibat yang sangat serius jika berbuat demikian,” kata Trump kepada NBC News dalam satu temu bual telefon yang dijadual disiarkan Ahad.

Namun Trump enggan berkongsi apakah bentuk akibat itu sekiranya Musk menyokong calon Demokrat dan merugikan Republikan yang menyokong rang undang-undang cukai dan belanjawan presiden.

Rang undang-undang belanjawan yang diluluskan minggu ini mencetuskan perselisihan terbuka antara Musk dan Trump, dengan Musk menuntut pemotongan perbelanjaan yang lebih besar serta menyifatkan rang undang-undang itu sebagai “sesuatu yang menjijikkan”.

Trump, sebaliknya, menggelarnya “rang undang-undang yang indah”.

Sejak Khamis, Musk dan Trump saling menyerang secara terbuka selepas berbulan-bulan bekerjasama dan dianggap rapat.

Trump menegaskan beliau tidak berhasrat untuk berdamai dengan Musk.

Dalam temu bual itu, Trump ditanya sama ada beliau percaya hubungannya dengan Musk, pemilik platform media sosial X, syarikat kereta elektrik Tesla dan firma angkasa SpaceX telah berakhir.

“Saya rasa ya,” jawab Trump.

Beliau juga mengulangi pendirian untuk tidak berdamai dengan Musk, sambil menyatakan terlalu sibuk dengan hal-hal lain.

“Saya tidak berniat untuk bercakap dengannya.”

Pada Khamis, pertelagahan antara kedua-dua tokoh itu memuncak dengan Trump melabel Musk sebagai “gila” manakala Musk mendakwa Trump tidak akan menang pilihan raya presiden tanpa bantuannya. – Bernama

Scroll to Top