Sokongan luar biasa! Larian Kesyukuran Syed Saddiq kumpul lebih RM50,000 pada hari pertama

Sokongan luar biasa! Larian Kesyukuran Syed Saddiq kumpul lebih RM50,000 pada hari pertama

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpulkan sebanyak RM54,692 pada hari pertama penganjuran Larian Kesyukuran Muar, sekali gus menghampiri sasaran kutipan keseluruhan sebanyak RM200,000.

Foto: Janaan AI

Menerusi perkongsian di Instagram, Syed Saddiq meluahkan rasa syukur dan terharu dengan sokongan luar biasa yang diterimanya sepanjang larian tersebut.

Menurut beliau, perjalanan yang bermula dari Putrajaya menuju ke Salak Tinggi sebelum diteruskan ke Labu disambut meriah oleh orang ramai yang sanggup menunggu di bahu jalan memberikan kata-kata semangat serta mendoakan perjalanannya.

“RM54,692 berjaya kita kumpul pada hari pertama Larian Kesyukuran Muar!
“Dari Putrajaya ke Salak Tinggi, kemudian Labu… ramai menunggu di tepi jalan untuk beri semangat dan mendoakan kami.
“Sampai di Labu, saya terkejut melihat lautan manusia yang masih menunggu walaupun sudah malam,” kata Syed Saddiq, hari ini.

Foto: Janaan AI

Syed Saddiq berkata, sokongan yang ditunjukkan orang ramai menjadi pemangkin utama untuk beliau meneruskan misi larian tersebut.

“Saya yang berlari, tetapi anda semua yang menggerakkan perjalanan ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan sekali lagi bahawa sasaran kutipan sebanyak RM200,000 akan disalurkan bagi menjayakan inisiatif Foodbank Muar serta penyediaan iPad untuk pelajar di Muar.

Mengakhiri perkongsiannya, Syed Saddiq menyifatkan pencapaian hari pertama itu hanyalah permulaan kepada usaha yang sedang dijalankan.

“This is only the beginning,” tambahnya lagi.

Foto: Janaan AI

Terdahulu, Syed Saddiq memulakan Larian Kesyukuran Muar sejauh kira-kira 170 kilometer dari pekarangan Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya menuju ke Muar, Johor sebagai simbol rasa syukur selepas melalui proses perundangan yang panjang sehingga berjaya membersihkan nama dan maruahnya.

Program larian yang berlangsung selama empat hari itu turut membawa misi kebajikan dengan menyasarkan kutipan dana sebanyak RM200,000 untuk disalurkan kepada inisiatif membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.

Menurutnya, larian berkenaan juga merupakan tanda penghargaan kepada institusi kehakiman negara susulan beliau berdepan pertuduhan selama enam tahun sebelum akhirnya dibebaskan dan membersihkan namanya.

Artikel lain: Dari Putrajaya ke Muar! Syed Saddiq mahu lari 170km, bawa misi kumpul RM200,000 untuk rakyat

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq berkata usaha mengumpul dana itu masih di peringkat awal dan berharap lebih ramai orang tampil menghulurkan sumbangan menerusi platform lariankesyukuranmuar.com bagi merealisasikan sasaran kutipan yang ditetapkan.

Sumber: Instagram Syed Saddiq

Scroll to Top