SHAH ALAM – Pas menegaskan parti itu tidak memusuhi UMNO sebaliknya mengambil pendirian berasaskan kepada prinsip dan kepentingan ummah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) membuktikan parti itu tidak mengamalkan politik sempit atau dipengaruhi emosi.
Menurut beliau, sokongan itu juga bertujuan memastikan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP tidak menguasai negeri itu.
“Daripada 23 kawasan yang tidak ditandingi PN ini, termasuk 14 kawasan yang mana berlaku ‘straight fight’ antara BN-PH.
“Ini bagi memastikan PH tidak menguasai Johor yang harus kekal bertunjangkan pimpinan Melayu Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PN menegaskan Pas menolak politik yang berdasarkan ‘Malaysian Malaysia’ cetusan DAP.
“Sekularisme, pluralisme dan liberalisme tidak sesuai bagi Malaysia.
“Sokongan Pas juga satu pengiktirafan pada cara Johor mengekalkan dasar ‘no PH no DAP’,” katanya lagi.
Menurut Annuar, Pas juga menawarkan 11 kawasan yang ditandinginya sebagai ‘kawasan referendum’ menolak UMNO-DAP.
“11 kawasan adalah 20 peratus sahaja dari keseluruhan 56 kerusi di Johor.
“Ia tidak menggugat kedudukan BN, sebaliknya memberi peluang Bangsa Johor ‘meluaskan kuasanya’ dalam mencorak politik nasional,” tambahnya lagi.
Jelas beliau, penyatuan undi Melayu-Islam di 11 kawasan berkenaan menjadi isyarat penolakan kerjasama UMNO-DAP di peringkat Persekutuan.
“Dengan referendum 11 kawasan yang mana undi Melayu Islam disatukan dengan memilih Pas, kita percaya ia bakal mencetuskan penolakan pada kewujudan UMDAP di pusat. Dan ia hidupkan kembali Muafakat UMNO-Pas yang bakal menunjangi politik nasional,” katanya.



