am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu : Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sokongan padu dan komitmen penjawat awam telah menjayakan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 dalam tempoh lima tahun memimpin kerajaan negeri.
“Selama lima tahun saya menakhoda kerajaan negeri dengan sokongan dan dukungan penjawat awam negeri dan Persekutuan, ia adalah satu pengalaman luar biasa dan amat bermakna kepada saya.
“Kalau sebelum ini saya hanya menakhoda sebuah kementerian, tetapi sejak lima tahun lalu saya menakhoda sebuah kerajaan. Ia pengalaman yang saya akan kenang selama-lamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Penjawat Awam Sabah di sini, hari ini.
Menurutnya, perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan di Sabah, secara amnya berjalan dan berfungsi dengan baik walau pun kadang-kadang berhadapan dengan pelbagai cabaran.
“Lebih-lebih lagi di Sabah ini yang pernah berhadapan dengan ketidakstabilan politik, di samping ancaman pandemik dan cabaran lain di luar kawalan kita seperti ketidaktentuan ekonomi dunia serta perubahan iklim atau cuaca yang boleh mempengaruhi prestasi, peranan dan kehidupan kita seharian.
“Semoga asas-asas kukuh berdasarkan Hala Tuju SMJ 1.0 yang telah kita pacak dan kian mengukuh ini, dapat kita lanjutkan bagi mencipta kejayaan lebih cemerlang dalam Hala Tuju SMJ 2.0 yang sentiasa menanti untuk dilaksanakan,” katanya.
Dalam tempoh lima tahun sebagai Ketua Menteri, Hajiji juga sudah meninjau dan melawat semua kementerian yang juga meliputi kesemua jabatan dan agensi.
“Maklum balas dan aduan yang sampai kepada saya tidak semestinya positif. Tentu ada ada wakil rakyat, ada PPM dan ketua-ketua kampung, malah pimpinan peringkat akar umbi, yang selalu menyampaikan laporan.
“Sebab itu saya katakan, sepanjang lima tahun lalu, ada perkara-perkara yang saya cukup berpuas hati, dan ada juga yang mengecewakan.
“Tetapi biasalah, sebagai seorang ketua, kita mengharapkan yang terbaik daripada orang bawahan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru penjawat awam untuk mengambil langkah proaktif dari segi pemantapan modal insan dan kepakaran.
“Sebagai jentera kerajaan, penjawat awam juga adalah tunjang dalam sistem pentadbiran sesebuah kerajaan.
“Berpandukan kepada etika kerja berhemah dan berintegriti, tugas penjawat awam ialah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat berpandukan prinsip ‘to serve the government of the day’.
“Untuk itu, hubungan baik dan akrab antara penjawat awam dengan pimpinan kerajaan perlu terus dipelihara dan diperkukuh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




