SOL Pictures angkat perjuangan rakyat Kedah dalam Perang Musuh Bisik

SOL Pictures angkat perjuangan rakyat Kedah dalam Perang Musuh Bisik

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Belum reda dengan kehangatan filem Gayong dan sekuelnya yang bakal menyusul, syarikat penerbitan SOL Pictures Sdn Bhd kini mengintai pasaran antarabangsa menerusi projek filem epik berskala besar berjudul Perang Musuh Bisik.

Naskhah yang mengangkat sejarah hitam perjuangan rakyat Kedah menentang serangan mengejut Siam pada awal abad ke-19 itu bukan sekadar hiburan, malah ia bertujuan menjadi rujukan warisan buat generasi akan datang.

Penerbit Eksekutif SOL Pictures Sdn Bhd, Khairul Anuar Latip berkata, projek ini adalah inisiatif besar bagi memaparkan bagaimana keluarga Diraja Kedah berganding bahu bersama pahlawan dan rakyat dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

“Filem Perang Musuh Bisik perlu diterbitkan untuk menjadi ingatan serta rujukan kepada anak cucu kita. Kita mahu tunjukkan bahawa maruah agama, bangsa dan tanah air wajib dipertahankan tanpa kompromi.

“Jika negara Barat boleh bangga dengan filem ‘blockbuster’ yang menjadi platform perjuangan mereka, kenapa kita tidak? Saya yakin kita juga mampu melakukan perkara yang sama,” katanya.

Bagi memastikan kualitinya setaraf naskhah global, Khairul Anuar mendedahkan filem ini bakal membabitkan pemindahan teknologi serta kerjasama pakar profesional dari luar negara.

Lebih menarik, skripnya dibina dengan ketelitian tinggi menerusi pembabitan pengkaji dan ahli sejarah tempatan bagi memastikan fakta sejarah terpelihara sebagai tatapan jati diri.

Meskipun belum bersedia mendedahkan siapa ‘hero’ yang bakal menggalas watak utama, Khairul Anuar membayangkan senarai pelakon hebat tempatan sudah pun berada dalam genggaman.

“Kita tidak mahu terburu-buru. Ketelitian dalam pra-produksi amat penting. Filem ini juga akan menampilkan gabungan pelakon antarabangsa termasuk bakat hebat dari negara jiran,” kongsinya lagi.

Proses pembikinan filem dijangka memakan masa antara 16 hingga 20 bulan kerana melibatkan pembinaan semula kostum, prop, serta latar abad ke-19.

Malah, teknologi kesan khas visual (VFX) dan ‘virtual set’ akan digunakan bagi menghidupkan babak penting dengan lebih realistik.

“Fasa penggambaran dijangka bermula pada awal suku keempat tahun 2026 di Kuala Kedah.

“Menariknya, set perkampungan yang dibangunkan dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah itu bakal dijadikan Galeri Perang Musuh Bisik untuk kunjungan pelancong sebaik penggambaran tamat,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top