Solari mahu pemain berikan aksi terbaik

Solari mahu pemain berikan aksi terbaik

Solari – – Foto FB Johor Southern Tigers

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mahu kesebelasan Harimau Selatan itu memberikan aksi terbaik ketika berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Ahad.

Menurutnya, skuad Kenari itu pastinya akan beraksi sebaik mungkin dalam usaha meneruskan rentak kemenangan pasukan setelah mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Penang FC pada aksi terakhir Liga Super, Rabu lalu.

Justeru katanya, kesebelasan pemain JDT perlu berwaspada di sepanjang perlawanan agar tidak menjadi ‘mangsa’ yang seterusnya.

“Kami menghormati Kedah (KDA FC), kerana mereka merupakan pasukan yang berada dalam prestasi yang baik ketika ini dan kami tahu perlawanan ini akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami.

“Tambahan pula, setiap pasukan pasti mahu memberikan yang terbaik ketika berdepan JDT dan kebiasaannya mereka akan beraksi lebih baik berbanding kebiasaannya.

“Namun, bagi kami, perkara itu dilihat sebagai satu cabaran yang perlu ditempuh dan kami sukakan perlawanan seperti ini kerana ia pasti akan menghasilkan mutu permainan yang menarik untuk disaksikan,” katanya.

Untuk rekod ‘sayembara’ kedua-dua pasukan ini dilihat sebagai ulangan kepada aksi dua pasukan teratas (top table battle) Liga Super setelah aksi JDT menentang Sabah di venue sama 31 Mac lalu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menang 4-0.

Pemain JDT menjalani latihan menjelang aksi Liga Super berdepan KDAFC, pada Ahad. - Foto FB Johor Southern Tigers

Pemain JDT menjalani latihan menjelang aksi Liga Super berdepan KDAFC, pada Ahad. – Foto FB Johor Southern Tigers

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Solari berkata, kesebelasan pemain sudah mula menjalani latihan setelah berdepan Perak FC di Stadium Perak, Ipoh, 4 April lalu.

Katanya, biarpun mencatatkan kemenangan 5-0 ke atas skuad The Bos Gaurus itu, pihaknya segera membuat pemeriksaan dan penilaian bagi memastikan tiada kecederaan serius yang berlaku kepada pemain.

“Kita sudah pun melakukan pemeriksaan serta penilaian pemain yang bakal beraksi berdepan KDAFC nanti.

“Setakat ini, kesemua pemain dilaporkan cergas dan ini memberikan kami banyak pilihan untuk menurunkan kesebelasan terbaik nanti,” katanya.