Tartu (Estonia): Pelumba muda Toyota, Oliver Solberg, semakin hampir mencipta sensasi apabila berada di landasan terbaik untuk menjuarai perlumbaan World Rally Championship (WRC) pertamanya di Rali Estonia.
Pelumba Sweden berusia 23 tahun itu kini mendahului saingan dengan kelebihan 21 saat menjelang tiga peringkat terakhir, sekali gus menghampiri kemenangan bersejarah pada kemunculan sulungnya bersama pasukan Toyota.
Anak kepada legenda rali dunia dan juara WRC 2003, Petter Solberg, pelumba muda itu hanya beraksi secara penampilan khas (one-off) untuk Toyota sambil masih menyertai saingan tetap WRC2 musim ini.
Solberg mula menguasai perlumbaan sejak pagi Jumaat dan terus mempamerkan tunggangan konsisten sepanjang 125km laluan Sabtu, apabila menambah empat lagi kemenangan peringkat.
“Ini hari yang luar biasa.Kelajuan konsisten, tiada kesilapan dan saya cuma fokus untuk tunggang dengan bersih.
“Tak rancang pun untuk lebarkan jurang, tapi ia satu bonus,” kata Solberg.
Pelumba itu mencatat masa terpantas dalam tiga daripada empat ujian sebelum menukar strategi pada sebelah petang dengan lebih berhati-hati melalui laluan mencabar di kawasan Otepaa dan Kanepi.
“Saya hanya cuba buat yang terbaik untuk setiap peringkat tanpa kesilapan. Tekanan memang terasa kerana mereka di belakang asyik menekan,” katanya merujuk kepada pencabar terdekat.
Ketika Solberg kukuh di depan, juara dunia 2019 dan pelumba tuan rumah, Ott Tanak, kini terbabit dalam perebutan sengit merebut tempat kedua dengan rakan sepasukan Hyundai, Thierry Neuville, yang hanya ketinggalan empat saat.
Pelumba Finland, Kalle Rovanpera, berada di kedudukan keempat, namun masih belum mampu mengancam tiga tangga teratas setakat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd