SUPERSTAR Indonesia, Datuk Sri Rossa melakar sejarah tersendiri apabila tiket prajualan Konsert Here I Am yang dibuka jam 3 petang pada 11 November lalu habis dijual dalam masa tiga jam.
Paling mengujakan tiket bagi kategori Festival habis dijual dalam masa empat minit sahaja.
Sekali gus membuktikan bertapa hebat pengaruh dan populariti penyanyi genit itu.
Rossa atau pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani bakal menghiburkan peminatnya dalam konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dan Inspire Production dengan kerjasama SAH Entertainment bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun tahun depan.
Penyanyi yang dikenali dengan vokal memukau dan balada yang penuh emosi pastinya mengubat kerinduan peminat dengan konsert berskala besar itu.
Dalam satu temu bual bersama media, Rossa berkongsi perasaan gembira dan teruja untuk menghiburkan peminat di Malaysia.
“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan menyampaikan lagu yang membawa maksud mendalam buat saya.
“Sokongan peminat di Malaysia sentiasa menghangatkan hati saya. Tidak sabar rasanya mahu berkongsi detik istimewa ini bersama mereka selepas 25 tahun berkarya,” kata penyanyi lagu Pudar itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Aizuddin Ghazali menyifatkan pihaknya berbesar hati untuk turut serta menjayakan konsert serta s
ebagai satu inisiatif merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia melalui platform muzik.
Menurutnya, penganjuran acara hiburan itu juga dapat membantu negara mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Rossa adalah ikon seni yang disegani serta dihormati. Kami menaruh keyakinan konsert ini memberikan pengalaman dan memori terindah buat semua peminat.
“Selain itu, ia dapat memperkukuh ikatan persaudaraan serantau.” katanya.
Tambah Aizuddin, Konsert Here I Am adalah susulan tayangan filem dokumentari All Access to Rossa: 25 Shining Years pada bulan lalu.
“Atas permintaan ramai, khususnya pencinta Rossa di Malaysia, kami membawakan konsert ini untuk mereka yang setia menyokong Rossa selama ini.” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




