Solidariti bersama para asatizah dan pendakwah

Solidariti bersama para asatizah dan pendakwah

FIRMAN Allah S.W.T yang bermaksud:

Advertisement

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka…” 

(at-Taubah: 42)

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin menyatakan solidariti bersama para asatizah dan pendakwah di seluruh negara dengan nasib yang sedang menimpa mereka.

Sayugia diingatkan bahawa tugasan menyampaikan kebenaran risalah Islam serta mencegah kemungkaran merupakan warisan daripada para Rasul dan Anbiya

Oleh itu, denai ini tidak pernah menjanjikan jalan yang mudah dan bersenangan, bahkan itu jualah yang ditunjukkan dalam sorotan Sirah para pejuang agama terdahulu. 

Tugasan menyampaikan mesej agama tidak harus berhenti di mana-mana air dakwah ini disekat. Air sungai tidak akan berhenti mengalir walaupun ada tembok yang memisahkannya dengan hiliran sungai. 

DUPP meneliti perkembangan mutakhir ini dengan tekanan dihempapkan kepada para asatizah dan pendakwah tanpa henti, bahkan disudutkan dengan gelaran ‘ekstremisme’ dan ‘pelampau agama’. 

Bersabarlah di atas jalan ini dan jangan sesekali berhenti menapak ke hadapan dalam menyedarkan masyarakat kepada Islam. 

Ujian sebegini adalah cerminan kita berada di langkahan yang betul. Semoga kita semua terus diberikan petunjuk dan cahaya dalam menyampaikan dakwah Islamiyyah ini. 

DUPP turut yakin dan percaya bahawa masyarakat juga memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada para asatizah dan pendakwah di atas nasib yang menimpa.

Sebagaimana janji Nabi S.A.W mengenai kemenangan Islam bagi memotivasikan para Sahabat Baginda untuk berjuang, begitulah juga kekuatan yang perlu disemat oleh kita semua insya-Allah.

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
12 Ramadan 1444H | 3 April 2023M – HARAKAHDAILY 3/4/2023

Scroll to Top